"PILIHAN raya Jun,” begitulah kandungan SMS seorang teman kepada hamba. Maksudnya, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan berlangsung pada Jun 2012.
Lalu hamba membalas SMSnya dengan pertanyaan: ‘‘Najib (Datuk Seri) bagi tahu ke?''
Si teman menjawab balik: ‘‘Anak saudara bagi tahu, dia kerja (kakitangan awam) di Putrajaya. Cuti tahunan bulan Jun dah dibeku.”
Nampaknya perbualan mengenai tarikh PRU13 semakin rancak. Seolah-olah ramai yang tahu tarikhnya. Pada hal, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pun belum pasti tarikh yang sesuai. Yang tahu hanyalah Allah SWT.
Najib boleh merangka dan merancang tarikh yang difikirkannya sesuai, tetapi sebagaimana dalam apa jua hal sekalipun, Allah jua yang menentukan. Boleh jadi ekonomi Malaysia merudum pada bulan depan, tentulah Perdana Menteri terpaksa mengambil kira faktor ini. Boleh jadi 1.3 juta kakitangan awam enggan menerima tawaran gaji baru yang disemak semula. Bolehkah Najib memejamkan mata kepada isu gaji ini? Terlalu banyak boleh jadi.
Yang pasti terdapat 3.73 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof tidak lama dulu.
Ingin diketahui, daripada jumlah 3.73 juta itu berapa ramai orang Islam? Senang cakap, berapa ramai orang Melayu yang belum mendaftar kerana pada dasarnya mereka dilahirkan, mengaku dan sebilangan besar mengamalkan cara hidup Islam. Pertanyaan ini hamba lontarkan kerana perkara ini amat penting jika kita menilai dan menganalisis senario politik di Malaysia kebelakangan ini. Banyak orang berkata, kita berada di persimpangan jalan. Tiada siapa yang benar-benar pasti parti politik mana yang akan berkuasa melalui PRU13.
Menyorot perkembangan politik negara setelah 55 tahun merdeka, generasi yang dilahirkan sebelum 31 Ogos 1957 pasti menaruh kebimbangan terhadap kedudukan agama Islam dan orang Melayu. Berbanding masa dulu, suasana politik dalam tempoh sedekad yang lalu cukup merisaukan.
Betapa kuasa Islam dan Melayu bersandar pada pohon yang rapuh kerana demokrasi ala Barat yang kita anuti telah menampakkan wajah buruknya. Disebabkan perpecahan, orang Melayu tidak lagi menjadi kuasa dominan yang boleh secara mutlak menentukan keputusan pilihan raya. Kebebasan dan hak asasi turut menjadi anai-anai yang menambah rapuh pohon demokrasi yang disandari.
Akhirnya parti-parti berteraskan kuasa Melayu/Islam terpaksa tunduk kepada puak-puak bukan Islam bagi mendapat sokongan politik. Inilah wajah buruk demokrasi ala Barat yang kelihatan terpaksa dianuti tanpa pilihan. Ada pilihan yang lain? Jika ada, bersedialah untuk berhadapan dengan kemarahan kuasa besar dunia yang menyebarkan ‘agama baru’ ini dengan bersendikan kebebasan dan hak asasi.
Tidak mustahil jika ada puak Melayu yang bukan sahaja tunduk kepada kuasa besar yang menegakkan agama baru ini, malah akan sujud kepada mereka. Dan nampaknya mereka lebih takut kepada penyebar agama baru ini daripada takutkan Allah.
Bersolat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada minggu ini, hamba mendengar khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bermula dengan petikan sebahagian daripada ayat 82 surah Al Maaidah yang bermaksud:
‘‘Sesungguhnya kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik.”
Khutbah itu mengingatkan umat Islam tentang nasib saudara-saudara seagama di Palestin yang dikejami dan diusir dari tanah air mereka oleh orang Yahudi dengan sokongan kuasa besar yang menggunakan demokrasi bersendikan kebebasan dan hak asasi untuk menakluki dunia Islam, sama ada dari segi ketenteraan, ekonomi atau sosiopolitik.
Juga disebut, jangan sekali-kali umat Islam menyokong puak Yahudi yang sentiasa memusuhi Islam, sejak zaman Rasulullah SAW hingga sekarang. Khutbah Jumaat itu diakhiri dengan mengingatkan para jemaah terhadap firman Allah dalam ayat 120 surah Al Baqarah yang bermaksud:
Mengancam
‘‘Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”
Inilah yang kita umat Islam di Malaysia wajib takuti. Renungilah maksud ‘‘Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”
Hamba bangkitkan perkara ini kerana tidak syak lagi pengetahuan mengenai tindak-tanduk Yahudi dan Nasrani itu amat ketara dan turut mengancam tanah air kita. Dan sudah nampak jelas siapa di antara kita yang ‘sujud’ kepada mereka.
Apa yang boleh kita lakukan untuk menentang mereka? Bukankah Rasulullah SAW telah berpesan bahawa sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah membanterasnya dengan tangan; jika tidak boleh dengan tangan gunakanlah lidah (kata-kata); dan jika tidak boleh kedua-duanya larangilah dengan hati yang merupakan selemah-lemah iman.
Adakah iman kita terlalu lemah sehingga hanya sekadar mampu melarang dengan hati? Tentulah tidak kerana kita masih boleh menggunakan tangan.
Gunakanlah tangan anda untuk menolak puak yang jika diberikan kuasa akan menyebabkan kita juga turut sujud kepada mereka yang sentiasa memusuhi Islam. Tolak mereka melalui kuasa undi dalam pilihan raya akan datang. Anggaplah PRU13 satu titik persimpangan bagi masa depan Islam di Malaysia.
Kita telah melihat betapa hebat asakan musuh-musuh Islam di Malaysia. Mereka menggunakan demokrasi, kebebasan dan hak asasi bukan sahaja untuk menghasut bukan Islam supaya membenci pemimpin-pemimpin beragama Islam, malah mereka berjaya memperalatkan beberapa kerat pemimpin Melayu yang mengaku Islam untuk menikam umat Islam.
Persoalannya, sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi bagi melaksanakan tuntutan mempertahankan Islam melalui pilihan raya? Atau anda masih tergolong dalam kelompok 3.73 juta yang belum mendaftar. Janganlah sekadar menentang sesuatu kemungkaran dengan hati sahaja. Bukankah Rasulullah telah menempelak bahawa itu adalah selemah-lemah iman?
Pepatah Melayu mengingatkan kita bahawa ‘‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.” Ayuh mendaftarlah segera dengan SPR untuk menentang (dengan tangan) puak yang akan menjahanamkan Islam di Malaysia.
No comments:
Post a Comment