BUKU The Malay Archipelago (Gugusan Kepulauan Melayu) yang ditulis pada 1845-1846 antara lain mengisahkan betapa bahasa Melayu menjadi lingua franca dan wujudnya sifat mengamuk di kalangan orang Melayu serta kisah buah durian menjadi “raja” buah-buahan.
Bagi penulisnya, Alfred Russel Wallace, gugusan itu dibahagi kepada lima kumpulan pulau-pulau:
* Pulau-pulau Indo-Malay: Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Pulau Jawa dan Sumatera.
* Kumpulan Timur: pulau-pulau Timur, Flores, Sumbawa dan Lombok.
* Sulawasi: termasuk Pulau Sula dan Buton
* Kumpulan Maluku: Buru, Seram, Helmahera dan Morotai serta pulau-pulau kecil Ternate, Makian, Ambon, Banda.
* Kumpulan Papua: termasuk pulau besar New Guinea.
Menurut catatan salah seorang rakannya, Wallace biasanya diiringi oleh seorang dua pembantu dalam perjalanan ke sana-sini, tidak seperti Gabenor British di Singapura, Sir Stamford Raffels yang menjelajah melalui Sumatera dengan puluhan pembantu termasuk pembawa kerusi, minuman wain Perancis dan lain-lain keperluan.
Dalam pada itu ada teguran kerana tindakan Wallace memburu orang utan di Borneo hingga membunuh 10 orang.
Ini kebiasaan di masa dulu manakala pemburu-pemburu dari Eropah dan Amerika pergi ke Afrika untuk memburu singa dan lain-lain binatang buas dan mengambil gambar selain membuktikan keberanian mereka sebagai pemburu.
Berdamping
Dalam lawatannya ke Kepulauan Melayu, Wallace berdamping dengan orang-orang kampung, sultan-sultan, raja-raja dan pembesar lain.
Antara ceritanya ialah ketibaan di Wonosalam, Jawa Timur setelah seorang budak lelaki diterkam oleh harimau yang mengheretnya ke dalam hutan.
Kira-kira 700 orang lelaki bersenjatakan lembing kemudian memburu harimau itu dan membunuhnya.
Menulis mengenai Melaka zaman lampau, Wallace mencatat: “Tempat ini ialah pasaran bagi seluruh India, Maluku dan lain-lain pulau sekeliling, selain dari Banda, Pulau Jawa, Sumatera, Siam, Bengal, Coromandel”.
Selanjutnya dijelaskan betapa bahasa Melayu berkembang: “Penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai bangsa. Kaum Cina mungkin paling ramai, mereka memelihara adat-adat dan bahasa mereka.
Lingua franca
Orang Melayu pun ramai dan bahasa mereka telah menjadi lingua franca. Mereka memakai baju dan kain sarung.
Ketika sampai di Sarawak pula Wallace menyebut mengenai pelbagai buah-buahan: Manggis, langsat, rambutan, nangka, jambu dan belimbing.
Paling diminati ialah durian bagi penduduk tempatan dan orang-orang Eropah di Gugusan Kepulauan Melayu. “Ia begitu sedap sekali dan mengatasi buah-buahan lain”.
Bagi yang tidak mengenalinya bau durian seperti bau bawang busuk, tetapi ramai menganggapnya sebagai buah paling sedap sekali.
Ia begitu sedap hingga mengatasi kesedapan segala buah-buahan lain dalam dunia ini, Wallace menambah. Durian dipanggil “raja” atau “maharaja” buah-buahan.
“Saya mula merasa durian di Melaka, tetapi durian yang saya dapati atas tanah di Borneo dan makan di luar rumah begitu sedap dan saya serta-merta menjadi pemakan durian”.
Beliau juga menyebut mengenai durian menjadi kegemaran orang-orang Dayak.
Pada suatu pagi Wallace diberitahu mengenai kejadian amuk di sebuah kampung. Seorang lagi mencederakan 17 orang sebelum ia dibunuh.
Tempat paling kerap berlaku kejadian mengamuk ialah Makasar. Bagi orang-orang Sulawesi ia satu cara untuk melepaskan diri daripada kesusahan mereka.
Juga dicatat ialah kejadian di kalangan orang Bugis: Ada yang menganggap diri sendiri ditindas oleh masyarakat kerana berhutang dan tidak dapat menjelaskannya.
Lalu ada yang menghunus keris dan tiba-tiba menikam sesiapa saja yang ditemuinya. Ia berlari dengan keris berlumuran darah dan menikam semua yang ditemuinya.
Pekikan “amuk! amuk!” kedengaran di sana-sini. Ia terus mara ke hadapan dan membunuh sesiapa saja yang dihadapinya - lelaki, wanita atau kanak-kanak - hinggalah kemudian ia dibunuh oleh orang ramai.
Menurut Wallace dua bangsa paling berbeza dalam gugusan Kepulauan Melayu ialah orang Melayu di bahagian Barat dan orang Papua.
Lalu disebut: “Tidak syak lagi bahawa orang Melayu paling penting antara kedua itu kerana ia paling beradab bila bertembung dengan Eropah.
“Orang Melayu menduduki Semenanjung Tanah Melayu hampir kesemua kawasan Pantai Borneo dan Sumatera. Mereka berbahasa Melayu, menulis tulisan Jawi dan beragama Islam.
Orang-orang Islam berada di Pulau Jawa, orang beragama Hindu tinggal di Bali dan Lombok manakala orang Bugis tinggal di Sulawesi.
Melayu yang garang ialah Dayak di Borneo, orang Batak di Sumatera, Jakun di Tanah Melayu, Orang Asli utara Sulawesi, Kepulauan Sulu serta sebahagian di Buru.
Golongan atasan Melayu paling beradab, bersopan-satun dan mudah mendampingi orang-orang Eropah. Namun, ada kekejaman yang tidak dihiraukan akibatnya dan ini satu aspek buruk watak mereka.
Demikian antara kandungan Gugusan Kepulauan Melayu waktu itu daripada kaca mata Wallace yang kembali ke London setelah berada dipelbagai wilayah Asia selama sembilan tahun.
Beliau menerima pingat emas dari Persatuan Geografi Inggeris kerana bukunya itu dan Ijazah Kehormat dari Universiti Oxford.
Ketika berumur 41 tahun ia berkahwin dengan gadis 18 tahun. Pertanyaan: Apakah kemudian semasa tua beliau menyesal kerana membunuh orang utan?
No comments:
Post a Comment