APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

Borang Keahlian MUARA

Nama:
Email:
Telefon:
KP:
Alamat:

This HTML form was created by Freedback.

Bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal-Ehwal Pengguna

Photobucket

Bersama Timbalan Menteri Pelajaran

Photobucket

Saturday, February 25, 2012

Gunakan ‘kuasa tangan’

"PILIHAN raya Jun,” begitulah kandungan SMS seorang teman kepada hamba. Maksudnya, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan berlangsung pada Jun 2012.

Lalu hamba membalas SMSnya dengan pertanyaan: ‘‘Najib (Datuk Seri) bagi tahu ke?''

Si teman menjawab balik: ‘‘Anak saudara bagi tahu, dia kerja (kakitangan awam) di Putrajaya. Cuti tahunan bulan Jun dah dibeku.”

Nampaknya perbualan mengenai tarikh PRU13 semakin rancak. Seolah-olah ramai yang tahu tarikhnya. Pada hal, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pun belum pasti tarikh yang sesuai. Yang tahu hanyalah Allah SWT.

Najib boleh merangka dan merancang tarikh yang difikirkannya sesuai, tetapi sebagaimana dalam apa jua hal sekalipun, Allah jua yang menentukan. Boleh jadi ekonomi Malaysia merudum pada bulan depan, tentulah Perdana Menteri terpaksa mengambil kira faktor ini. Boleh jadi 1.3 juta kakitangan awam enggan menerima tawaran gaji baru yang disemak semula. Bolehkah Najib memejamkan mata kepada isu gaji ini? Terlalu banyak boleh jadi.

Yang pasti terdapat 3.73 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof tidak lama dulu.

Ingin diketahui, daripada jumlah 3.73 juta itu berapa ramai orang Islam? Senang cakap, berapa ramai orang Melayu yang belum mendaftar kerana pada dasarnya mereka dilahirkan, mengaku dan sebilangan besar mengamalkan cara hidup Islam. Pertanyaan ini hamba lontarkan kerana perkara ini amat penting jika kita menilai dan menganalisis senario politik di Malaysia kebelakangan ini. Banyak orang berkata, kita berada di persimpangan jalan. Tiada siapa yang benar-benar pasti parti politik mana yang akan berkuasa melalui PRU13.

Menyorot perkembangan politik negara setelah 55 tahun merdeka, generasi yang dilahirkan sebelum 31 Ogos 1957 pasti menaruh kebimbangan terhadap kedudukan agama Islam dan orang Melayu. Berbanding masa dulu, suasana politik dalam tempoh sedekad yang lalu cukup merisaukan.

Betapa kuasa Islam dan Melayu bersandar pada pohon yang rapuh kerana demokrasi ala Barat yang kita anuti telah menampakkan wajah buruknya. Disebabkan perpecahan, orang Melayu tidak lagi menjadi kuasa dominan yang boleh secara mutlak menentukan keputusan pilihan raya. Kebebasan dan hak asasi turut menjadi anai-anai yang menambah rapuh pohon demokrasi yang disandari.

Akhirnya parti-parti berteraskan kuasa Melayu/Islam terpaksa tunduk kepada puak-puak bukan Islam bagi mendapat sokongan politik. Inilah wajah buruk demokrasi ala Barat yang kelihatan terpaksa dianuti tanpa pilihan. Ada pilihan yang lain? Jika ada, bersedialah untuk berhadapan dengan kemarahan kuasa besar dunia yang menyebarkan ‘agama baru’ ini dengan bersendikan kebebasan dan hak asasi.

Tidak mustahil jika ada puak Melayu yang bukan sahaja tunduk kepada kuasa besar yang menegakkan agama baru ini, malah akan sujud kepada mereka. Dan nampaknya mereka lebih takut kepada penyebar agama baru ini daripada takutkan Allah.

Bersolat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada minggu ini, hamba mendengar khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang bermula dengan petikan sebahagian daripada ayat 82 surah Al Maaidah yang bermaksud:

‘‘Sesungguhnya kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik.”

Khutbah itu mengingatkan umat Islam tentang nasib saudara-saudara seagama di Palestin yang dikejami dan diusir dari tanah air mereka oleh orang Yahudi dengan sokongan kuasa besar yang menggunakan demokrasi bersendikan kebebasan dan hak asasi untuk menakluki dunia Islam, sama ada dari segi ketenteraan, ekonomi atau sosiopolitik.

Juga disebut, jangan sekali-kali umat Islam menyokong puak Yahudi yang sentiasa memusuhi Islam, sejak zaman Rasulullah SAW hingga sekarang. Khutbah Jumaat itu diakhiri dengan mengingatkan para jemaah terhadap firman Allah dalam ayat 120 surah Al Baqarah yang bermaksud:

Mengancam

‘‘Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Inilah yang kita umat Islam di Malaysia wajib takuti. Renungilah maksud ‘‘Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Hamba bangkitkan perkara ini kerana tidak syak lagi pengetahuan mengenai tindak-tanduk Yahudi dan Nasrani itu amat ketara dan turut mengancam tanah air kita. Dan sudah nampak jelas siapa di antara kita yang ‘sujud’ kepada mereka.

Apa yang boleh kita lakukan untuk menentang mereka? Bukankah Rasulullah SAW telah berpesan bahawa sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah membanterasnya dengan tangan; jika tidak boleh dengan tangan gunakanlah lidah (kata-kata); dan jika tidak boleh kedua-duanya larangilah dengan hati yang merupakan selemah-lemah iman.

Adakah iman kita terlalu lemah sehingga hanya sekadar mampu melarang dengan hati? Tentulah tidak kerana kita masih boleh menggunakan tangan.

Gunakanlah tangan anda untuk menolak puak yang jika diberikan kuasa akan menyebabkan kita juga turut sujud kepada mereka yang sentiasa memusuhi Islam. Tolak mereka melalui kuasa undi dalam pilihan raya akan datang. Anggaplah PRU13 satu titik persimpangan bagi masa depan Islam di Malaysia.

Kita telah melihat betapa hebat asakan musuh-musuh Islam di Malaysia. Mereka menggunakan demokrasi, kebebasan dan hak asasi bukan sahaja untuk menghasut bukan Islam supaya membenci pemimpin-pemimpin beragama Islam, malah mereka berjaya memperalatkan beberapa kerat pemimpin Melayu yang mengaku Islam untuk menikam umat Islam.

Persoalannya, sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi bagi melaksanakan tuntutan mempertahankan Islam melalui pilihan raya? Atau anda masih tergolong dalam kelompok 3.73 juta yang belum mendaftar. Janganlah sekadar menentang sesuatu kemungkaran dengan hati sahaja. Bukankah Rasulullah telah menempelak bahawa itu adalah selemah-lemah iman?

Pepatah Melayu mengingatkan kita bahawa ‘‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.” Ayuh mendaftarlah segera dengan SPR untuk menentang (dengan tangan) puak yang akan menjahanamkan Islam di Malaysia.

Antara raja buah dan orang Melayu paling garang

BUKU The Malay Archipelago (Gugusan Kepulauan Melayu) yang ditulis pada 1845-1846 antara lain mengisahkan betapa bahasa Melayu menjadi lingua franca dan wujudnya sifat mengamuk di kalangan orang Melayu serta kisah buah durian menjadi “raja” buah-buahan.

Bagi penulisnya, Alfred Russel Wallace, gugusan itu dibahagi kepada lima kumpulan pulau-pulau:

* Pulau-pulau Indo-Malay: Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Pulau Jawa dan Sumatera.

* Kumpulan Timur: pulau-pulau Timur, Flores, Sumbawa dan Lombok.

* Sulawasi: termasuk Pulau Sula dan Buton

* Kumpulan Maluku: Buru, Seram, Helmahera dan Morotai serta pulau-pulau kecil Ternate, Makian, Ambon, Banda.

* Kumpulan Papua: termasuk pulau besar New Guinea.

Menurut catatan salah seorang rakannya, Wallace biasanya diiringi oleh seorang dua pembantu dalam perjalanan ke sana-sini, tidak seperti Gabenor British di Singapura, Sir Stamford Raffels yang menjelajah melalui Sumatera dengan puluhan pembantu termasuk pembawa kerusi, minuman wain Perancis dan lain-lain keperluan.

Dalam pada itu ada teguran kerana tindakan Wallace memburu orang utan di Borneo hingga membunuh 10 orang.

Ini kebiasaan di masa dulu manakala pemburu-pemburu dari Eropah dan Amerika pergi ke Afrika untuk memburu singa dan lain-lain binatang buas dan mengambil gambar selain membuktikan keberanian mereka sebagai pemburu.

Berdamping

Dalam lawatannya ke Kepulauan Melayu, Wallace berdamping dengan orang-orang kampung, sultan-sultan, raja-raja dan pembesar lain.

Antara ceritanya ialah ketibaan di Wonosalam, Jawa Timur setelah seorang budak lelaki diterkam oleh harimau yang mengheretnya ke dalam hutan.

Kira-kira 700 orang lelaki bersenjatakan lembing kemudian memburu harimau itu dan membunuhnya.

Menulis mengenai Melaka zaman lampau, Wallace mencatat: “Tempat ini ialah pasaran bagi seluruh India, Maluku dan lain-lain pulau sekeliling, selain dari Banda, Pulau Jawa, Sumatera, Siam, Bengal, Coromandel”.

Selanjutnya dijelaskan betapa bahasa Melayu berkembang: “Penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai bangsa. Kaum Cina mungkin paling ramai, mereka memelihara adat-adat dan bahasa mereka.

Lingua franca

Orang Melayu pun ramai dan bahasa mereka telah menjadi lingua franca. Mereka memakai baju dan kain sarung.

Ketika sampai di Sarawak pula Wallace menyebut mengenai pelbagai buah-buahan: Manggis, langsat, rambutan, nangka, jambu dan belimbing.

Paling diminati ialah durian bagi penduduk tempatan dan orang-orang Eropah di Gugusan Kepulauan Melayu. “Ia begitu sedap sekali dan mengatasi buah-buahan lain”.

Bagi yang tidak mengenalinya bau durian seperti bau bawang busuk, tetapi ramai menganggapnya sebagai buah paling sedap sekali.

Ia begitu sedap hingga mengatasi kesedapan segala buah-buahan lain dalam dunia ini, Wallace menambah. Durian dipanggil “raja” atau “maharaja” buah-buahan.

“Saya mula merasa durian di Melaka, tetapi durian yang saya dapati atas tanah di Borneo dan makan di luar rumah begitu sedap dan saya serta-merta menjadi pemakan durian”.

Beliau juga menyebut mengenai durian menjadi kegemaran orang-orang Dayak.

Pada suatu pagi Wallace diberitahu mengenai kejadian amuk di sebuah kampung. Seorang lagi mencederakan 17 orang sebelum ia dibunuh.

Tempat paling kerap berlaku kejadian mengamuk ialah Makasar. Bagi orang-orang Sulawesi ia satu cara untuk melepaskan diri daripada kesusahan mereka.

Juga dicatat ialah kejadian di kalangan orang Bugis: Ada yang menganggap diri sendiri ditindas oleh masyarakat kerana berhutang dan tidak dapat menjelaskannya.

Lalu ada yang menghunus keris dan tiba-tiba menikam sesiapa saja yang ditemuinya. Ia berlari dengan keris berlumuran darah dan menikam semua yang ditemuinya.

Pekikan “amuk! amuk!” kedengaran di sana-sini. Ia terus mara ke hadapan dan membunuh sesiapa saja yang dihadapinya - lelaki, wanita atau kanak-kanak - hinggalah kemudian ia dibunuh oleh orang ramai.

Menurut Wallace dua bangsa paling berbeza dalam gugusan Kepulauan Melayu ialah orang Melayu di bahagian Barat dan orang Papua.

Lalu disebut: “Tidak syak lagi bahawa orang Melayu paling penting antara kedua itu kerana ia paling beradab bila bertembung dengan Eropah.

“Orang Melayu menduduki Semenanjung Tanah Melayu hampir kesemua kawasan Pantai Borneo dan Sumatera. Mereka berbahasa Melayu, menulis tulisan Jawi dan beragama Islam.

Orang-orang Islam berada di Pulau Jawa, orang beragama Hindu tinggal di Bali dan Lombok manakala orang Bugis tinggal di Sulawesi.

Melayu yang garang ialah Dayak di Borneo, orang Batak di Sumatera, Jakun di Tanah Melayu, Orang Asli utara Sulawesi, Kepulauan Sulu serta sebahagian di Buru.

Golongan atasan Melayu paling beradab, bersopan-satun dan mudah mendampingi orang-orang Eropah. Namun, ada kekejaman yang tidak dihiraukan akibatnya dan ini satu aspek buruk watak mereka.

Demikian antara kandungan Gugusan Kepulauan Melayu waktu itu daripada kaca mata Wallace yang kembali ke London setelah berada dipelbagai wilayah Asia selama sembilan tahun.

Beliau menerima pingat emas dari Persatuan Geografi Inggeris kerana bukunya itu dan Ijazah Kehormat dari Universiti Oxford.

Ketika berumur 41 tahun ia berkahwin dengan gadis 18 tahun. Pertanyaan: Apakah kemudian semasa tua beliau menyesal kerana membunuh orang utan?

Monday, February 13, 2012

Doa Kesejahteraan - Sayyidatina Aisyah



"Ya Allah! Aku minta kepada Engkau semua kebaikan masa kini dan akan datang samada yang aku ketahui atau tidak dan tahu dan aku berlindung kepada Engkau dari semua kejahatan yang masa kini dan akan datang samada yang aku tahu atau tidak."

(Doa Kesejahteraan - Doa Sayyidatina Aisyah)

Friday, February 10, 2012

Menjunjung tinggi keadilan sejagat



TENTERA Israel sentiasa bertindak kejam terhadap penduduk Palestin termasuklah sanggup mengacukan senjata api kepada kanak-kanak yang tidak berdosa.


SETELAH mengeluarkan kenyataan yang amat kontroversi - beliau menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel, Anwar Ibrahim membuat justifikasi bahawa pendirian berkenaan sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjunjung tinggi prinsip keadilan sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

Kenyataan ini memang terang-terangan tidak kena sama sekali dengan perjuangan umat Palestin.

Keadilan sejagatkah namanya sekiranya negara Israel tegak atas penderitaan umat Palestin?

Hak mereka untuk hidup dinafikan dan tanah mereka di rampas, mereka dibunuh dan dipenjara dan mereka dinafikan untuk hidup di tanah air mereka sendiri.

Jadi, kita semua tertanya-tanya kamus politik mana yang dirujuk oleh Anwar untuk membuat justifikasi menjunjung tinggi keadilan sejagat ini?

Kenyataan yang tersurat dan maksud yang tersirat menepati kias pepatah 'sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya'.

Mana mungkin orang yang mengikuti perjalanan hidup politik Anwar boleh memandang remeh kehadiran ejen asing yang dijadikan kawan sekian lama.

Kalau itupun dikatakan suatu helah politik tetapi tidak sampai membuat kenyataan yang sangat menyinggung seolah-olah Anwar bercakap bagi pihak orang lain dan mempunyai maksud politik yang tertentu.

Umat Islam di seluruh dunia tidak akan merelakan penggadaian prinsip berlaku atas dorongan keinginan untuk sampai ke Putrajaya segera.

Bayangkan kalau itulah kenyataan yang dibuat apakah takdirnya Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia (minta dijauhkan Allah) nanti perkara yang pertama yang dilakukan adalah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel.

Kerajaan Malaysia mengambil pendirian tidak mengiktiraf Israel atas asas berlaku ketidakadilan kepada perjuangan umat Palestin. Nampaknya pendirian kerajaan Malaysia jauh lebih jelas dan tegas berbanding kenyataan Anwar itu.

'Membela hak mereka yang dizalimi' memberi maksud seolah-olah selama ini Israel dan kelompok zionisnya dizalimi oleh orang-orang Palestin dan pembelaan harus dilakukan terhadap mereka. Ini adalah kenyataan songsang yang di luar akal kemanusiaan menerimanya.

Semua orang tahu dan Anwar juga tahu kelompok Hamas dan PLO sejak zaman Arafat lagi cuba melakukan rundingan damai. Tetapi apa hasilnya? Hasilnya adalah bedilan peluru yang tidak berperikemanusiaan dan penempatan baru yang merampas hal-hak orang Palestin.

Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tulang belakang mempertahankan negara Israel tahu kezaliman yang berlaku. Apa makna sebuah negara yang menjadi rujukan demokrasi dan kebebasan hak asasi manusia boleh membiarkan ia terjadi.

Jawapannya mudah. Sesiapa yang ingin menang sebagai Presiden di AS mesti mendapat dukungan pelobi zionis dengan jaminan bahawa keselamatan Israel dijamin. Penulis percaya Anwar tahu silat politik zionis ini.

Anwar cuba mengemukakan strategi 'Two State Solution' iaitu suatu gagasan idea yang dilobi oleh badan antarabangsa yang dianggotainya iaitu International Crisis Group (ICG) yang mengesyorkan agar Israel dan Palestin sama-sama diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah dan berdaulat di samping mencadangkan agar dunia Islam khususnya negara-negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Israel.

Apakah ini gambaran keadilan sejagat yang ingin dibawa oleh Anwar dan ingin membela yang menzalimi dan bukan dizalimi?

Apakah idea itu tercetus daripada rumusan gerakan Islam seluruh dunia? Atau ia adalah corong agen asing yang Anwar jadi jurucakapnya.

Duta Palestin ke Malaysia, Abdel Aziz Abughoush melihat kenyataan berkenaan sebagai 'pelik dan ganjil'.

"Kami tidak tahu siapa yang sebenarnya memerlukan perlindungan keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih.

"Kami tidak pasti adakah jaminan keselamatan perlu diberi kepada penakluk atau rakyat Palestin yang ditakluki, yang ditindas saban hari serta berdepan dengan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang dan perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan penakluk yang mencabul undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa serta tidak menghiraukan usaha masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat", tambahnya.

Perkara yang sama diulas oleh Dr. Azzam Tamimi, Wakil Perikatan Pimpinan Ikhwan Muslimin yang berpangkalan di London.

"Ini adalah tindakan seorang pemimpin Islam yang benar-benar tidak layak memimpin,'' katanya.

Dr. Azzam seorang ahli gerakan Islam yang berpengaruh di dunia Islam dan di Malaysia memberikan beberapa asas hujah mempertikaikan kenyataan Anwar itu (rujuk Utusan Malaysia, 9 Februari dan blognya).

Kritikan yang serupa dibuat oleh Dr. Abdul Mu'ti, Setiausaha Pertubuhan Muhammadiyyah sebuah organisasi Islam terbesar di Indonesia dengan menyatakan bahawa kenyataan Anwar merupakan sikap politik yang tidak bijaksana dan ia merupakan kesilapan politik yang sangat serius.

Tegasnya, ia tidak saja menyakiti umat Islam bahkan tidak sesuai dengan sikap dan pandangan masyarakat Muslim di seluruh dunia.

Di dalam negara pula, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tidak setuju dengan pandangan Anwar.

Menurutnya, masyarakat Palestin telah lama tertindas di tanah air sendiri. Oleh itu, setiap rakyat negara ini perlu menyokong perjuangan rakyat Palestin supaya akhirnya mereka dapat hidup di tanah air sendiri dengan aman".

Ia dikongsi oleh Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia), suatu gerakan Islam semasa yang mengambil pendekatan wasatiyyah menyatakan bahawa ia suatu kenyataan yang "menakjubkan" seolah-olah mengiktiraf penjajahan Israel terhadap Palestin dan memandang bahawa Israel dan Palestin mempunyai hak yang sama ke atas bumi Palestin.

Polimik ini disertai sama oleh bekas sahabat baik Anwar, Ismail Mina iaitu Jawatankuasa MUAFAKAT Malaysia sebuah organisasi dakwah yang menampung orang lama ABIM dengan menyatakan bahawa kenyataan itu berbahaya dan boleh mengancam negara.

Malangnya, kepimpinan ABIM dan JIM, PKPIM dan Wadah tidak merasakan kenyataan Anwar itu relevan dengan perjuangan mereka.

Pertubuhan ini kelihatan partisan atau pendukung tegar Pakatan Rakyat dan sanggup membisu seribu bahasa mengenai isu ini.

Pertubuhan ini dulunya adalah pejuang barisan depan mengenai isu umat Palestin di Malaysia. Apakah kerana partisan politik kenyataan Anwar itu tidak perlu diberikan pendirian?

Anwar seperti biasa dalam siri ceramahnya di mana-mana akan menyalahkan orang lain dan menuduh akhbar-akhbar di Malaysia memutarbelitkan kenyataannya.

Pengikut tegarnya yang tidak tahu dan taksub kepada kepimpinannya tidak akan berganjak bahawa Anwar sentiasa betul dan sejak dalam ABIM lagi terkenal sebagai tokoh memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Orang-orang yang cerdik dan mengikuti perkembangan Anwar dengan isu pluralismenya, hubungan intimnya dengan agen-agen luar dan kredibiliti moralnya yang merudum dapat membuat timbangan yang rasional.

Kalangan pengikutnya yang tegar tetap menutup pintu minda dan hati untuk tidak mahu berbincang apalagi menerima hakikat bahawa Anwar bukanlah pemimpin yang bersih atau kelihatan bersih.

Buktinya kenyataan Anwar yang terakhir di Wall Streets Journal mempunyai maksud yang tersirat. Kenyataan di BBC juga serupa.

Semakin dekat pilihan raya semakin banyak kenyataan kontroversi dibuat sekadar menggembirakan 'tuan'nya dan mempunyai kesan kepada iklim politik Malaysia masa kini dan masa depan.

Nukilan SEMUTAR MERAH

Mantera Negeri Kelantan

tanah serendah sekebun bunga
negeri molek negeri comel
kijang belari dalam taman
tanah ke laut angin sejuk
tanah ke darat bayu tenang
tanah lembah subur tanaman
tanah bukit segar pohonan
tanah tempat tumpah darah
tanah keramat makmur nikmat

wahai rakyat tanah negeri
hok di luar hok di dalam
hok jauh hok dekat
hok kecik hok besar
kena ingat kena sedar
kena bangkit kena jaga
kena kabar kena ingat
tanah comel tanah bertuah
kenapa jadi kucar lana
orang muda habis pergi
tinggal mak tinggal ayah
tinggal adik tinggal abang
duduk sorang di rantau jauh
bila besar mengaji pandai
negeri sendiri jadi kenangan
duduk jauh mencari rezeki
apalah nasib jadi begini
emak ayah tua keseorangan
rindu kampung ingat halaman
tinggal jadi kenang-kenangan
pandang ke langit nampak bulan
bulan cerah di langit jauh
di langit sendiri gerhana sakan
sorak sorai pecah tekak
habuk dan debu naik ke muka
sorak sorai siang malam
nasib tak berubah laba tak sampai
begini nasib di negeri keramat

marilah sebentar kita pikir
nasib hidup hamparan takdir
sapa bila nak begini
duduk jauh di negeri orang
negeri sendiri nasib merana
kena cari jalan selamat
tanah indah tanah rahmat
nasib tak berubah dengan berdiam
kena gerak kena usaha
kena cari jalan yang terang
jadi penyuluh pedoman hidup
marilah kita pakat bersama
mengubah rentak mengubah lagu
jangan lama menunggu lagi
ubah nasib ubah fikiran
cari punca penyebab payah
cari penawar penyembuh sakit

adat tukar kena tukar
ubah perangai ubah rasa
hari gelap biar cerah
langit biru awan berarak
hambat gerhana hambat kemarau
pulang pulih ke negeri asal
tanah serendah sekebun bunga
negeri makmur negeri damai
cukuplah onar cukuplah payah
tukar corak tukar cara
BN pulak merentah negeri
insya Allah, nasib kita tak gini lagi