Wakil rakyat ialah individu yang menjadi perantaraan di antara kerajaan dan rakyat. Pucuk pimpinan negara perlu teliti membuat pemilihan wakil rakyat kerana kesilapan dalam perkara ini boleh menggagalkan usaha kerajaan mengendalikan urusan masyarakat dan negara.
Tingkah laku atau personaliti individu yang ingin dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya dikaji terlebih dahulu. Personaliti atau tingkah laku merupakan cermin hati nurani seseorang individu. Jika hati nurani tersemat dengan perasaan angkuh dan sombong, maka ucapan dan tindakannya memberi isyarat kepada masyarakat bahawa individu tersebut tidak layak dilantik menjadi pemimpin mereka.
Masyarakat atau rakyat mampu menilai tingkah laku dan perwatakan orang yang ingin menjadi pemimpin mereka. Suara rakyat atau masyarakat yang menentukan pemilihan wakil rakyat, bukannya keputusan daripada suara kumpulan yang kecil. Individu yang tidak memiliki jiwa rakyat dan kurang gemar berkomunikasi dengan masyarakat tidak layak dilantik menjadi wakil rakyat kerana wakil rakyat ialah orang yang amat prihatin permasalahan rakyat.
Mempamerkan wajah dalam media massa dengan tujuan untuk menyakinkan pucuk pimpinan bahawa seseorang itu aktif dalam urusan kemasyarakatan bukan merupakan kriteria utama dalam pemilihan wakil rakyat. Wakil rakyat ialah orang yang dikenali oleh kesemua golongan masyarakat di kawasannya hasil daripada pertemuan dan aktiviti yang sering dilakukan olehnya.
Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya mengetahui pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Permasalahan ini akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara atau dibahaskan dalam Parlimen. Wakil rakyat yang cuai terhadap tugas dan tanggungjawab tidak dapat menyelami permasalahan masyarakat. Kehadiran mereka di Parlimen tidak memberi sebarang faedah kepada masyarakat. Mereka tidak mempunyai isu untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara dalam mesyuarat dan sebagainya kerana beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat sama ada dari sudut komunikasi atau kegiatan yang boleh memberi faedah kepada masyarakat.
Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat akan menghadapi pelbagai masalah berkaitan dengan masyarakat. Jika seorang wakil rakyat mengatakan bahawa di kawasannya tidak mempunyai masalah, ini menunjukkan bahawa individu tersebut tidak bertanggungjawab. Urusan berkaitan dengan penyediaan kemudahan asas atau keperluan hidup kepada masyarakat bukan merupakan satu perkara yang mudah.
Individu yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya terdiri daripada orang yang mempunyai pengalaman dalam urusan kemasyarakatan dan sanggup menghadapi permasalahan masyarakat serta mempunyai perwatakan yang gagah dan gigih.
Sejarah penciptaan bumi dan langit yang dipaparkan oleh Allah di dalam al-Qur'an, surah 41 (Fussilat): 9-12 ,menjelaskan bahawa Allah mencipta bumi yang dikukuhkan dengan gunung-ganang hanya dua hari sahaja. Allah menentukan kadar pemakanan kepada penghuni bumi memakan masa selama empat hari. Allah mencipta langit yang mempunyai tujuh lapisan serta dihiasi langit yang berhampiran bumi dengan bulan dan bintang selama dua hari.
Ayat al-Qur'an ini menunjukkan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, ia adalah terlalu mudah bagi Allah dan hanya memakan masa selama dua hari. Urusan berkaitan dengan keperluan makanan makhluk-Nya di bumi ini memakan masa empat hari bagi Allah mengendalikannya. Berdasarkan penjelasan ini, maka umat Islam sepatutnya menyedari bahawa menjadi seorang pemimpin bukan merupakan satu perkara yang mudah.
Pemimpin atau wakil rakyat merupakan bapa atau ibu kepada rakyat dalam negara mereka. Ciri-ciri kepimpinan yang disulami dengan sifat amanah, rendah diri serta peri kemanusiaan yang tinggi sahaja mampu menjadikan seorang wakil rakyat atau pemimpin itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna.
Individu yang kurang gemar bergaul dan menyelami permasalahan masyarakat jika dilantik menjadi wakil rakyat bukan sahaja boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan yang mundur, malah ia juga boleh membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pucuk pimpinan negara perlu tegas dalam soal pelantikan wakil rakyat supaya setiap individu yang dilantik memahami bahawa pelantikannya bukan berasaskan kepada keakraban hubungannya dengan pucuk pimpinan negara tetapi berdasarkan kepada bakat dan kebolehannya.
Sikap gemar menunjukkan kebolehan diri secara menguar-uarkan kehebatan diri adalah di antara sifat yang dikeji mengikut perspektif akhlak Islam. Oleh itu, dalam pemilihan wakil rakyat, pucuk pimpinan negara sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sifat dan personaliti setiap individu yang ingin dilantik supaya tidak berlaku penipuan dan lakonan dalam urusan kepimpinan.
Masyarakat keseluruhannya mengharapkan wakil rakyat menumpukan perhatian kepada permasalahan keperluan asas mereka, bukan menampilkan diri dalam bentuk yang membosankan rakyat. Wakil rakyat sepatutnya memahami fitrah manusia supaya tingkah laku dan tindak tanduk mereka digemari rakyat.
Apabila perut lapar dan badan menjadi semakin lemah, masyarakat amat memerlukan bantuan daripada kerajaan. Ketika ini, wakil rakyat amat diperlukan oleh masyarakat.
Jika jiwa dan hati nurani wakil rakyat disemat dengan roh keimanan dan peri kemanusiaan yang tinggi, maka setiap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada masyarakat akan dilaksanakan dengan sempurna dan amanah, bukan diagih-agihkan kepada golongan yang kecil. Sifat amanah dan jiwa lembut begini sukar untuk dicari dalam dunia Islam masa kini kerana umat Islam kurang memahami objektif dan prinsip hidup manusia di dunia yang sementara ini.
Hasilnya, negara yang mewah dan kaya dihuni oleh ramai penduduk miskin kerana wakil rakyat dan para pemimpin tidak amanah dan tamak.
Berdasarkan fenomena di mana umat Islam sering dilimpahi dengan kemewahan tanpa merujuk kepada hukum halal dan haram, maka pucuk pimpinan negara sepatutnya amat prihatin terhadap pemilihan wakil rakyat supaya setiap perancangan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat dalam negara.
Wakil rakyat yang amanah kekal melaksanakan tugasnya dan wakil rakyat yang kecundang perlu disingkirkan supaya rakyat dalam negara dapat bernafas dengan nada kesyukuran kepada kerajaan yang prihatin.
Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment