KUALA LUMPUR 11 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Program Jelajah Sahabat YADIM 1Malaysia sejauh 2,500km berkonsepkan ”turun padang” selama 15 hari bermula Isnin depan.Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin berkata, lebih 150 orang dijangka menyertai konvoi yang pertama kali dianjurkan ini.
Katanya, perjalanan secara konvoi bermotosikal dan berkereta ini meliputi seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan akan bermula dari Masjid Putra, Putrajaya dan berakhir di Masjid Jamek Kampung Baru.
Beliau berkata, objektif utama jelajah ini adalah sebagai satu ”jihad” dan usaha membantu masyarakat seperti ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim dan golongan yang tidak bernasib baik, di samping mengajak ke arah kesatuan ukhwah di kalangan masyarakat terutama ahli politik dan ahli agama.
"Program jelajah bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-53 ini juga bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia dengan lebih jelas agar memahami dan menghayati sepenuhnya gagasan yang menuntut pelaksanaan daripada ahli masyarakat sendiri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Penjelajahan ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelepasan di Masjid Putra, Putrajaya.Peserta individu atau berkumpulan yang berminat menyertai program ini boleh menghubungi Mohd Azian Daud di talian 03-40437812 atau terus ke ibu pejabat Yadim di Jalan Perdana di sini. – Bernama
No comments:
Post a Comment