Inilah sikap yang membelenggu umat Islam. Justeru, saya sememangnya tidak ada masa untuk membalas kecaman picisan yang dilakukan. Lagipun membahaskan isu remeh-temeh tidak membangunkan minda. Sama juga isu pertemuan antara Mufti Perak dengan pemimpin Pas yang dikatakan pernah berlaku sebelum ini. Kenapa kita perlu membuang masa membahaskan isu ini? Tidakkah kita boleh menarik nafas lega dan berkata Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada insan yang berhati mulia, mengambil inisiatif untuk menyatupadukan umat Islam. Kenapa pula ada golongan yang mahukan seperti ini dipecat sebagaimana yang disarankan oleh sesetengah pemimpin fanatik Pas?
Apakah mereka yang berhati mulia ini telah melakukan dosa atau maksiat kerana bertemu dengan Mufti Perak? Tidakkah ia merupakan kerja-kerja para anbia yang perlu diteruskan? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Mereka lebih rela bekerjasama dan berkawan dengan orang yang jelas menentang Islam daripada mereka yang masih ada hati kepada Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk dengan umat Islam. Mereka tetap saudara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk selamatkan mereka.
Apakah MCA, DAP dan Gerakan tidak pernah bertemu untuk membincangkan masa depan mereka? Jawapannya, mereka kerap kali berjumpa melalui platform Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO. NGO-NGO mereka boleh dikatakan saban hari dan saban minggu bertemu dan bermesyuarat untuk menuntut hak dan memperkasakan jati diri mereka.
Kenapa kita tidak boleh bertindak seperti mereka? Ingatlah, perpecahan kita sudah sampai ke tahap yang amat parah. Umat Islam berpecah dalam semua bidang dan kategori.
Kita selalu bercakap dan berhujah dengan membawa ayat-ayat al-Quran yang berbunyi, "hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, jangan kamu berpecah-belah,". Hari ini kita begitu tergamak mengecam mufti terbabit hanya kerana niat sucinya untuk melihat umat Islam bersatu.
Saya tidak pernah melihat dan mendengar orang bukan Islam mengecam ketua agama mereka seperti sami dan paderi, kecuali jika mereka melakukan perkara yang tidak baik. Mereka juga tidak pernah bergaduh atau berkelahi di dalam rumah ibadat mereka seperti mana kita berantakan dalam masjid dan surau hanya kerana mahu merebut kuasa dan jawatan. Akhirnya, masjid surau tidak bergerak, tidak diimarahkan. Kita rela melihat masjid surau 'mati' begitu sahaja daripada dikuasai oleh 'orang lain'.
Keagamaan
Cuba kita bandingkan dengan institusi keagamaan orang lain, begitu meriah sepanjang masa. Setiap tahun wajah bangunan mereka berubah. Apa yang saya lihat mereka amat menghormati institusi agama. Apa kata agamawan mereka, itulah yang diikuti tanpa dikecam atau dihina. Hari ini, kita sudah sampai ke tahap, bukan hanya mengecam, tetapi menghina dan sanggup merendah-rendahkan mereka. Apa yang kita dapat?
Misalnya, jika Mufti Wilayah Persekutuan berkeras dengan keputusannya mengenai program ESQ yang sedang hangat diperkatakan hari ini, hormatilah hak mufti.
Jangan dipaksa mereka untuk mengubah warta tersebut melalui pengaruh kuasa politik dan sebagainya. Ia hanya akan menghancurkan tahap kebebasan sesebuah badan berkuasa agama di dalam negara kita. Cukuplah kita berpecah dalam segala bidang, jangan ditambah pula dengan soal bidang kuasa setiap negeri. Negara kita cukup unik, dibanding negara lain, kita mempunyai 14 mufti setiap negeri. Jika mufti pun berpecah, bersorak gembiralah lagi ultra kiasu, kerana umat Islam berpecah bukan hanya ke akar umbi, malah terbawa kepada kepada kepada agamawan yang amat dihormati oleh masyarakat.
Sekadar memetik pandangan beberapa sahabat yang mengatakan, pihak ESQ pula tidak boleh mendabik dada dengan mengemukakan bukti sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respons yang baik dan ilmiah kepada kontroversi itu, bukan hanya sekadar menyatakan "kami ada penasihat syariah", "kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong", "ulama Singapura" dan sebagainya.
Bagi menyelamatkan keadaan, saya yakin penasihat syariah ESQ sedang bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak. Buatlah kajian dan siasatan secara rapi. Janganlah membuang masa membincangkan perkara yang agak 'remeh'. Saya yakin kita masih boleh membezakan mana dia yang betul, mana dia yang salah.
Jangan sampai yang salah dikatakan betul, yang betul dikatakan salah. Jika ini yang berlaku, perpecahan kita sudah ibarat barah, menunggu masa untuk hancur dan saat kematiannya.
Penggunaan
Pada masa sama, penggunaan ESQ perlu dibuat dengan berhati-hati dan dibahaskan secara akademik. Kita tidak boleh bertindak membabi-buta dan terlalu taksub dengan ESQ. Kerana dalam Islam kita ada Q (Quotient) lain yang lebih mantap seperti Quranic Quotient (QQ) atau Tawhidic Quotient (TQ). Sudah tentu QQ dan TQ lebih jelas maknanya daripada ESQ.
Emotional Spiritual Quotient(ESQ) dipelopori oleh pasangan Yahudi yang bernama Danah Zohar (2000), berlatarbelakangkan pendidikan fizik, falsafah, teologi dan psikologi, dan suaminya, Ian Marshal, seorang psikiatrik. Pasangan yang telah memeluk agama Buddha ketika mereka berada di Nepal, membincangkan panjang lebar mengenai ESQ yang dikaitkan secara langsung dengan agama Buddha.
Mereka cuba menjawab persoalan yang berkait rapat berhubung nilai dan makna dalam kehidupan. Pada mereka, Spiritual Quotient (SQ) mampu membawa manusia pada tahap yang lebih baik berbanding kecerdasan Intelligence Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). SQ juga mampu memecahkan kebuntuan makna dan nilai perlakuan manusia kepada suatu penjelasan yang lebih luas dan holistik.
Persoalan yang ingin dijawab melalui SQ adalah bagaimana, apa, kepada dan kenapa? Zohar turut mengkritik cara hidup orang Barat yang keterlaluan sehingga menjadikan hidup tidak ada hala tuju. Zohar mahukan penghayatan ESQ agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Ini berdasarkan kepada cara hidup Barat yang sering berada dalam dilema 'tidak pernah puas'. Malah ada yang keliru dan bingung dengan kehidupan sehingga sanggup memilih kematian sebagai penyelesaian, sedangkan mereka mempunyai IQ yang tinggi, mempunyai aset yang melimpah ruah.
Justeru, menurut Zohar lagi, IQ yang hebat tidak cukup, tanpa disertai dengan EQ dan SQ.
Zohar juga berpendapat bahawa SQ tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan agama. Seorang atheis juga boleh mempunyai kekuatan spiritual. Mereka lebih mempercayai naluri dan jiwa mereka sendiri. Keyakinan pada nilai-nilai spiritual bergantung kepada apa sahaja kita dipercayai. Bagi mereka, agama merupakan suatu aturan atau sistem yang dibebankan secara luaran. SQ tidak ada hubungan dengan budaya mahupun nilai. SQ mampu mencipta agama tetapi agama itu tidak bergantung kepada SQ.
Di sinilah silapnya ESQ yang dibawa oleh Danah Zohar dan bahayanya ke atas umat Islam. Jika kita perhatikan di dalam penulisan tersebut, mengapa golongan Atheis dan Humanis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi, sedangkan mereka langsung tidak mempercayai konsep ketuhanan? Jika benar mereka mempunyai nilai spiritual yang tinggi, apa perspektif mereka terhadap agama? Inilah persoalan yang belum terjawab.
Begitu juga dalam konteks UMNO dan Pas. Banyak masa dihabiskan untuk membincangkan perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan. Sedangkan orang lain sibuk memperkasakan anak bangsa dengan mendesak dan menuntut hak mereka. Kita pula lain ceritanya.