APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

Borang Keahlian MUARA

Nama:
Email:
Telefon:
KP:
Alamat:

This HTML form was created by Freedback.

Bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal-Ehwal Pengguna

Photobucket

Bersama Timbalan Menteri Pelajaran

Photobucket

Saturday, April 16, 2011

Ulang tahun ke-50 manusia pertama di angkasa lepas



SELASA lalu, dunia menyambut ulang tahun ke-50 manusia pertama di angkasa lepas iaitu angkasawan Kesatuan Soviet, Yuri Gagarin melalui kapal angkasanya Vostok.

Wanita pertama sampai ke angkasa juga adalah dari Soviet iaitu Valentino Tereshkova. Malah sebelum mereka pula, haiwan pertama yang sampai ke angkasa juga datang dari Soviet iaitu anjing bernama Laika.

Bukan itu saja, kapal angkasa pertama, Sputnik dunia adalah hasil karya Soviet.

Kesan daripada kejayaan itu adalah besar kepada seluruh dunia. Ada anak-anak Melayu yang namanya Yuri dan juga Valentino mengambil sempena angkasawan Soviet itu.

Ketika itu di Malaya walaupun Darurat sudah diisytiharkan tamat tetapi perang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) masih berlangsung

Di peringkat dunia, pertembungan antara Soviet dan Amerika Syarikat (AS) sedang memuncak. Sebuah negara jirannya, Cuba baru jatuh ke tangan komunis.

Sementara di banyak negara di seluruh dunia, ada saja parti komunis yang sedang menentang kerajaan masing-masing.

Di Singapura pula masa itu adalah mencemaskan. PKM mempunyai kehadiran kuat di situ. Malah dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), berlaku pertarungan antara kumpulan pro-komunis dan anti-komunis. Lee Kuan Yew berjaya menyisihkan golongan pro-komunis yang kemudian menubuhkan Barisan Sosialis.

Washington dan Britain bimbang Singapura akan jatuh kepada komunis dan menjadi Cuba di Asia Tenggara. Jalan untuk menyelamatkan Asia Tenggara ialah dengan menyatukan Singapura dengan Malaya. Maka lahirlah gagasan Malaysia. Malaya dan Malaysia berada di sebelah Amerika dan sekutu-sekutunya. Gelagat kedua-dua kuasa ini sedang diperhatikan di seluruh dunia. Siapa yang akan menang pada masa itu belum diketahui.

Tetapi apa yang pasti Soviet telah menunjukkan dirinya sebagai kuasa masa depan kerana kejayaannya menghantar manusia ke angkasa lepas. Maknanya sains dan teknologi Soviet adalah paling ke hadapan di dunia mengatasi AS.

Sememangnya AS kurang kesungguhan dalam menjayakan sains dan teknologi mereka pada masa itu.

Kekayaan ilmu sains di AS dapat dipercepatkan kerana kemenangannya dalam Perang Dunia Kedua dan dasar menekan Yahudi oleh Jerman semasa pemerintahan Nazi.

Lantaran tekanan Nazi itulah banyak ahli sains termasuk Albert Einstein berhijrah ke AS. Begitu juga dengan ahli-ahli sains Jerman lain yang memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi nuklear dan bom atom AS.

Sememangnya asal teknologi roket adalah Jerman. Andai kata Jerman tidak mencetuskan Perang Dunia Kedua, mungkin negara itulah satu-satunya yang berjaya membangun teknologi roket dan menjadi negara pertama mengirim manusia ke angkasa, dan bukannya Soviet atau AS.

Selepas Nazi tumbang dan Jerman terbahagi dua, di sebelah barat ditakluk AS dan sekutu-sekutunya dan di sebelah timur oleh Soviet, maka ilmu roket dan keangkasaan negara hebat itu juga terbahagi dua. Saintis yang menyokong demokrasi pergi ke Amerika, sementara penyokong komunis menyumbang pula kepada Soviet.

Keturunan

Saintis keturunan Jerman di AS menasihati Washington supaya cepat membangun teknologi roketnya kerana mereka ketahui bahawa Soviet sedang rancak merancangnya. Sememangnya misi roket dan keangkasaan Soviet mempunyai fokus jelas. Sains dan teknologi akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat politik ideologi komunisme.

Washington tidak menghiraukan nasihat bekas saintis Jerman itu. Mereka tidak fikir bahawa Soviet mampu menerbangkan manusia ke angkasa.

Tetapi pada 4 Oktober 1957 lebih sebulan selepas Malaya merdeka, kapal angkasa pertama dunia, Sputnik dilancarkan di pangkalan yang terletak dalam Republik Soviet Sosialis Kazakh (Kazakh SSR), sebuah republik dalam Soviet.

Ia merupakan tamparan hebat kepada AS. Wibawa Soviet, dan juga komunisme meningkat di mata dunia pada masa itu. Dunia demokrasi dan sistem ekonomi terbuka mengalami tamparan hebat.

Washington tersedar bahawa nasihat dan amaran bekas saintis Jerman mempunyai kebenarannya.

Maka mereka juga berasa cemas kalau-kalau Amerika akan ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

Ekoran itu Presiden John F. Kennedy menerapkan dasar sains yang agresif termasuk pendidikan sains. Semua sekolah, kolej dan universiti mendapat tekanan supaya meningkatkan pendidikan sains mereka.

Sementara dengan tidak berlengah-lengah lagi mereka segera bingkas membangun teknologi roket dan keangkasaan bagi mengalahkan Soviet.

Dalam kerancakan itu, kejayaan Soviet menghantar Yuri Gagarin ke angkasa merupakan satu lagi pukulan kepada AS. Tetapi pukulan ini diambil secara positif yang kemudian menyebabkan AS meletakkan sasaran akan menjadi negara pertama yang mendaratkan angkasawannya ke permukaan bulan.

Maka pada tahun 1969, penghujung dekad 60-an, Amerika berjaya mengalahkan Soviet dengan mencapai sasarannya meletakkan Neil Armstrong sebagai manusia pertama mendarat di bulan.

Ternyata dalam 10 tahun, AS berjaya mengalahkan Soviet. Wibawa AS bertambah pulih dan akhirnya, iaitu 20 tahun kemudian, sistem Soviet ternyata gagal dan kerajaan komunis tumbang.

Soviet dibubarkan dan Persekutuan Rusia serta republik-republik lain di dalamnya turut mendapat kemerdekaan. Program roket Soviet diwarisi oleh Rusia. Tetapi pangkalan angkasa yang terletak di Baikonur tidak terletak dalam Rusia. Ini kerana kini Kazakh SSR sudah menjadi Kazakhstan.

Siapa sangka bahawa kekaguman orang Malaya kepada Yuri Gagarin akan akhirnya membawa kepada Malaysia turut menghantar angkasawan pertamanya melalui teknologi roket Rusia daripada pangkalan Baikonur ini.

Maknanya angkasawan Malaysia pertama, Sheikh Muszaphar Shukor menjadi pewaris teknologi yang dibangunkan sejak Yuri Gagarin dan Sputnik.

Sheikh Muszaphar pula adalah antara ribuan anak Malaysia yang merupakan hasil daripada usaha gigih negara untuk membangunkan sains dan teknologi.

Komitmen negara ini jelas hinggakan sains dan teknologi turut terkandung dalam Rukun Negara. Bukan saja Soviet dan AS, Malaysia juga sedar bahawa wibawa negara terletak pada pencapaian dalam bidang itu.

Sunday, April 10, 2011

Kenapa cache perlu kosong?



Cache perlu dikosongkan bagi mengelakkan maklumat penting anda diceroboh. - Gambar hiasan

Setiap kali selepas keluar atau log out daripada laman web perbankan internet, sering kali ada arahan untuk meminta kita mengosongkan cache. Apa itu cache dan kenapa perlu mengosongkannya?

-Murni , Temerloh

Cache adalah merupakan tempat simpanan sementara untuk menyimpan sesuatu maklumat atau data yang sedang diproses atau digunakan dalam sesebuah komputer.

Ia akan berada dalam bahagian tertentu pada cakera keras sesebuah komputer.

Bagi setiap pelayar web atau browser seperti Internet Explorer atau Mozilla Firefox dan sebagainya, segala maklumat web yang dilayari akan di simpan sementara dalam cache bagi setiap pelayar web tersebut.

Ini termasuk login dan kata laluan yang kita gunakan untuk memasuki sesebuah laman web seperti perbankan Internet, laman web sosial dan sebagainya.

Disarankan setiap kali sesudah kita memasuki sesebuah laman web terutama yang mempunyai transaksi kewangan, maklumat peribadi atau lain-lain, dikosongkan terlebih dahulu ruangan cache pelayar web bagi komputer yang digunakan.

Ini kerana sesiapa sahaja yang boleh mencapai komputer tersebut dan seterusnya pergi ke ruangan cache akan boleh memperolehi segala maklumat dan data yang terdapat di dalamnya.

Namun begitu, sekiranya ia adalah komputer kepunyaan sendiri, bagaimana?

Ya. Ia tiada masalah tetapi bagaimana sekiranya komputer tersebut jatuh ke tangan orang lain atau dipinjam untuk kegunaan orang lain?

Sudah tentu ia berisiko apatah lagi sekiranya komputer tersebut bukan milik kita seperti komputer yang terdapat di makmal-makmal pusat pengajian atau kedai-kedai akses Internet.

Lagi satu masalah adalah sekiranya komputer kita sering menggunakan capaian Internet tanpa wayar seperti Wi-fi dan sebagainya, ia memudahkan komputer tersebut terdedah kepada aktiviti pencerobohan atau penggodaman.

Sudah tentu sekiranya ia dicerobohi, maklumat dan data dalam cache tadi mudah diperolehi.

Bagi keselamatan maklumat dan data, perlu kita menghapuskan data atau maklumat yang terdapat di dalam cache pada pelayar web yang digunakan.

Seterusnya adalah kaedah untuk menghapuskan data yang terdapat dalam cache bagi pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox.

Bagi Internet Explorer, ruangan cache ini dikenali sebagai Temporary Internet Files. Sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Internet Options'

*Klik 'General'

*Pada ruangan 'Browsing History', klik 'Delete'

*Pilih 'Temporary Internet Files' dan klik 'Delete'

*Klik 'OK'

*Klik 'OK' sekali lagi untuk menutup Internet Options.

Bagi Mozilla Firefox sila ikut langkah-langkah yang di bawah:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options'

*Pilih 'Advanced' dan klik 'Network'

*Pada ruangan Offline Storage , klik Clear Now.

*Klik 'OK'

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, ia boleh dikonfigur secara automatik dengan mengosongkan ruangan cache apabila program Mozilla ditutup. Iaitu dengan cara seperti yang berikut:-

*Klik 'Tools'

*Pilih 'Options' , pilih 'Privacy'

*Pada ruangan 'History', setkan bahagian 'Firefox will:' kepada Use custom settings for history.

*Klik kotak semakan untuk Clear history when Firefox closes.

*Klik pada Settings, akan dipapar satu tetingkap Settings for Clearing History.

*Klik pada kotak semakan untuk ruangan 'Cache'.

*Klik 'OK' dan klik sekali lagi 'OK'

Itulah maklumat dan panduan berkenaan dengan cache yang ada dalam pelayar web yang digunakan.

Cara untuk menghilangkan data pada cache ini tidak sama bagi kesemua jenis pelayar web.

Di sini, saya berikan panduan untuk menghilangkan data cache yang ada pada pelayar web Internet Explorer dan Mozilla Firefox sahaja.

Sekiranya ada permintaan untuk pelayar-pelayar web yang lain, sila e-melkan kepada saya. Semoga semuanya memberi manfaat kepada semua.

Sunday, April 3, 2011

Siasat blog perkauman, hina Melayu

KUALA LUMPUR 3 April - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kewujudan laman blog http://alfanso-rightstoon.blogspot.com/ yang didakwa sarat dengan elemen perkauman dan hasutan.

Menurut Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Zubir Harun, paparan blog tersebut yang bersifat keterlaluan boleh menimbulkan keresahan serta rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

Jelasnya, perkara itu amat berbahaya sekiranya dibiarkan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tidak timbul lebih banyak perpecahan kaum di negara ini.

"Jangan sampai Melayu ambil tindakan sendiri sehingga melampaui batas undang-undang.

"Kami tidak mahu ada sebarang huru-hara dalam negara. Justeru, setiap perkara yang membabitkan perkauman seperti ini wajib disiasat pihak berkuasa sebelum terlambat," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tidak setakat memadankan gambar pemimpin Melayu dengan binatang, blog itu turut memaparkan kata-kata hinaan terhadap PDRM selain menyifatkan Melayu UMNO sebagai paria sebenar.

Sementara itu, Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menyifatkan individu yang mengelolakan laman blog tersebut sebagai bacul dan mempunyai niat jahat.

"Setahu saya SKMM mempunyai hak untuk menyiasat tanpa perlu menunggu laporan polis. Justeru mereka perlu mengambil tindakan segera terhadap penghinaan seperti ini.

"Jelas tuduhan itu bertujuan merosakkan perhubungan baik antara kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, PDRM hanya akan menjalankan siasatan berhubung kewujudan blog itu jika ada pihak yang tampil membuat laporan polis.

Buat masa ini, katanya, PDRM belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kewujudan blog itu.

Sunday, March 27, 2011

Orang Melayu perlu berani kerana benar, pertahan hak


Prof. Datuk Abdul Halim Sidek

KUALA LUMPUR 27 Mac - Orang Melayu perlu berpegang kepada pendirian berani kerana benar dalam mempertahankan hak seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Abdul Halim Sidek berkata, orang Melayu kini bukan sahaja berada dalam keadaan bahaya malah turut berada di persimpangan.

"Elemen Malayan Union yang mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu kini kembali menular dalam agenda pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera.

"Sekiranya kita (orang Melayu) tidak prihatin, saya takut nanti hak kita hanya tinggal hak, kalau begitu tidak guna ada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hak Melayu dan Bumiputera Dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 pada Konvensyen Transformasi Ekonomi Bumiputera anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini hari ini.

Abdul Halim berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana peruntukan tersebut sudah wujud sejak sekian lama.

"Orang Melayu tidak pertikai hak kaum lain. Kita bagi mereka hak kewarganegaraan, kita hormati hak mereka. Jadi mereka juga tidak seharusnya mempertikai hak orang Melayu terutama yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, sesiapa sahaja yang memerintah negara ini juga tidak berhak untuk menyentuh Perkara 153.

"Sebarang pindaan Perkara 153 hanya boleh dilakukan melalui persetujuan dua pertiga di Parlimen dan paling penting perkenan daripada raja-raja Melayu," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu terutama yang mempertikai hak Melayu perlu sedar dan bersama menjaga kepentingan Melayu serta bumiputera dan bukannya mempolitikkan isu tersebut.

Saturday, February 19, 2011

PUISI BUAT SULTAN KELANTAN



BICARA BUAT SEORANG SULTAN
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)

pada kerendahan dalam pakaian pada penampilan
dalam keramaian perasaan tertawan kepada sang sultan
pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja, moga nyata,
dia payung rakyat jelata..
inilah nasihat raja dan rakyat…
raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat'
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat
raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat
raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,
apabila raja itu zuhud, namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah, sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana, jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama, dengan ikhlas rakyat berdoa..
tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah

Dr MAZA, 160211



Friday, February 18, 2011

HOTEL BAHTERA NABI NUH?




KADANG-KADANG terfikir juga kita bagaimana jika bumi ini satu hari dilanda bencana yang sangat besar, apakah yang akan terjadi kepada kita? Ke manakah kita akan pergi?

Jika bencana itu merupakan tanda-tanda berlakunya hari kiamat, tentu tiada apa yang kita boleh dilakukan tetapi bagaimana pula jika ketika itu dunia mencapai hari terakhirnya walaupun kedudukan bumi hampir musnah.

Tentu keadaan ini mengingatkan kita mengenai kejadian bah besar yang pernah melanda bumi pada zaman Nabi Noh. Jika ia berlaku pada zaman moden ini, adakah kita benar-benar bersedia?

Sememangnya ada usaha saintis mencari planet-planet lain yang mempunyai hidupan atau sekurang-kurangnya mempunyai udara dan air yang diperlukan oleh manusia untuk hidup tetapi setakat ini pengetahuan manusia mengenai planet lain sangatlah terhad.

Maka kita seharusnya berusaha sendiri di bumi ini untuk menyediakan sebarang keperluan dalam menghadapi bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa terutama apabila semakin banyak tanda-tanda kualiti alam yang semakin tercemar.

Bongkah-bongkah ais di kutub yang semakin mencair akibat kepanasan global dan para air laut yang semakin meningkat, sudah tentu boleh membanjirkan atau menengelamkan beberapa negara yang rendah kedudukannya.

Sementara lapisan ozon yang semakin nipis boleh menyebabkan pancaran matahari terlalu panas untuk dinikmati manusia suatu hari nanti dan pelbagai lagi tanda-tanda yang menunjukkan alam ini semakin lemah dan suatu hari nanti semuanya sudah tentu boleh memusnahkan manusia.

Untuk tujuan tersebut, sebuah syarikat dari Rusia telah mereka bentuk sebuah hotel yang boleh digunakan jika dunia dilanda banjir besar dan boleh dianggap seperti hotel bahtera Nabi Noh!

Hotel Ark telah di reka bentuk oleh Remistudio dengan bantuan daripada Kesatuan Senibina Antarabangsa untuk program Senibina Menghadapi Bencana.

Futuristik

Hotel yang berbentuk futuristik ini direka untuk digunakan apabila air laut meningkat tinggi disebabkan kecairan ais di kedua-dua kutub akibat pemanasan global.

Hotel yang boleh terapung ini merupakan satu bangunan berbentuk sfera yang mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan apabila seseorang berada di dalamnya ketika bumi dilanda bencana.

Penginapan ini menggunakan konsep persekitaran hijau mudah kendali untuk tetamu dan bangunan yang seakan diliputi oleh cengkerang ini boleh menahan ombak besar atau dikenali juga sebagai tsunami serta lain-lain jenis bencana.

Arkitek menyatakan pembinaan dinding seperti cengkerang itu bertujuan membolehkan kabel dan keberatan hotel diseimbangkan walaupun ketika menghadapi bencana gempa bumi.

Bagi membolehkan ia beroperasi sendiri ketika dunia dilanda bencana, sistem elektrik dan bekalan air hotel ini menggunakan tenaga solar sebagai penjana kuasa dan memproses air hujan untuk dibekalkan kepada penghuni hotel.

Apa yang menarik, tetamu hotel juga boleh hidup dengan menanam sendiri sayur-sayuran mereka untuk dijadikan bekalan makanan di samping membekalkan oksigen kepada persekitaran hotel.

Reka bentuk dinding lut sinar pula memberi kelebihan untuk tidak menggunakan lampu tetapi cahaya ke dalam bilik akan dikurangkan dengan sistem penapisan cahaya terkini. Dinding lutsinar itu juga mempunyai lapisan khas yang tidak perlu dicuci kerana ia akan mencuci dirinya sendiri apabila terdapat kekotoran.

Alexander Remizov, arikitek dari Remistudio berkata, Hotel Ark yang direka sebagai bangunan dilengkapi sistem biocuaca dan sokongan hidup sendiri boleh dibina di atas darat atau laut.

“Ia juga boleh menjadi panduan untuk pembinaan rumah-rumah tahan bencana di masa hadapan yang boleh dibina dengan cepat dan sangat tahan kekuatannya,” katanya.

Katanya, dalam mereka bentuk sesebuah bangunan seperti Hotel Ark ini, ia terbahagi kepada dua perkara utama iaitu penyelenggaraan keselamatan dan persediaan menghadapi bencana besar dan perubahan cuaca.

“Faktor kedua ialah kemampuan bangunan menghadapi bencana angkara manusia,” katanya sambil menambah pokok-pokok yang dipilih juga seharusnya mempunyai ketahanan untuk ditanam di dalam persekitaran dalam bangunan.

Berguru dari Internet

UNTUNGNYA hidup di zaman Internet yang disifatkan sebagai dunia tanpa sempadan. Bagi yang tahu menghargai kemudahan Internet ini, ia bagai gedung yang sarat dengan ilmu yang begitu mudah dilayari hanya dengan klik di hujung jari.

Pengasas Surea Chocolate, Siti Shuhada Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Sue, 29, antara yang menjadikan laman web dan juga You Tube sebagai 'guru' untuk mempelajari cara membuat coklat.

Justeru, Sue tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membayar yuran bagi menghadiri kelas.

''Dari Internet saya mula mempelajari asas cara membuat coklat,'' katanya ketika ditemui di Bandar Mahkota, Cheras, Selangor, baru-baru ini.

Sue memberitahu, tidak cukup dengan itu beliau juga mempelajari teknik untuk membuat corak bagi menghias coklat.

Jelas Sue, lebih menarik apabila pemilik laman web tersebut sudi berkongsi pengalaman setiap kali dia membcuba membuat coklat dan teknik melukis coraknya.

Selain berkongsi pengalaman, kata Sue, beliau juga turut membeli bahan bagi membuat coklat, acuan serta kelengkapan peralatan lain menerusi laman web.

''Lagi pun di negara Barat sudah lama mempelopori bidang membuat coklat di rumah dengan teknik menghias yang kreatif dan hebat,'' katanya.

Bekas lulusan Senireka Grafik dari Universiti Limkokwing itu memberitahu, beliau hanya mengambil masa selama empat bulan untuk mempelajari teknik membuat dan menghiasai coklat sehingga betul-betul berjaya.

Beliau yang suka makan coklat mengakui sekian lama menyimpan hasrat untuk mecipta coklat jenamanya sendiri.

''Saya membuat percubaan demi percubaan supaya dapat menghasilkan coklat dalam pelbagai bentuk dan juga perisa,'' katanya.

Selain itu, katanya, beliau menggunakan ilmunya dalam bidang grafik untuk menghias setiap coklat yang dihasilkan.

Setelah yakin dengan dirinya, Sue membuat keputusan menjual coklat buatannya yang pertama di pusat membeli-belah Amcorp Mall.

''Sesuatu yang tidak dijangkakan apabila 600 batang coklat berjaya dijual dalam masa tiga hari,'' katanya.

Sue akui beliau tidak menjangka sama sekali coklatnya akan mendapat sambutan begitu hebat.

Malah ramai yang rasa kagum dengan coklat ciptaannya.

Sejak itu Sue mula merancang untuk lebih serius dalam bidang pembuatan coklat.

Dengan dibantu oleh adiknya, Nadiah, 23 dan sepupu, Nur Syaniza Abdul Rashid, 31, perniagaan Surea Chocolate semakin berkembang sejak setahun lalu.

''Setakat ini Surea Chocolate menyediakan lebih 200 corak seperti bunga, binatang, kartun atau buah-buahan dan pelbagai lagi,'' katanya.

Katanya, kebanyakannya coklat dibentuk seperti lollipop yang bukan sahaja diminati kanak-kanak malah boleh disesuaikan untuk majlis perkahwinan, hari lahir dan sebagai cenderamata.

''Setiap coklat lollipop dijual dengan harga RM1.50 bagi seberat 22 gram dan harganya bergantung kepada berat dan jenis hiasannya,'' katanya.

Jelas Sue, harga jualan itu amat berpatutan memandangkan kerja-kerja untuk menghiasnya bukan mudah serta mengambil masa.

Katanya, proses untuk membuat coklat lebih kurang 15 minit bermula dari proses pembekuan coklat dalam acuan sehinggalah kepada menghias.

''Mewarna adalah bahagian paling sukar dan perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya setiap warna yang dilarik di atas corak nampak kemas dan rapi,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, tugas menghias permukaan coklat bukan mudah kerana ia memerlukan ketekunan dan kesabaran.

Lebih membanggakan lagi, Surea Chocolate juga melangkah setapak lagi iaitu membuka kelas asas bagi yang berminat untuk membuat coklat di rumah.

Sue memberitahu, untuk tempahan dan maklumat mengenai kelas asas itu boleh diperoleh dari laman web sureacentre.blogspot.com.