Petikan daripada blog MOUNTDWELLER
Negeri Kelantan, memang terlalu lambat untuk dijamah kemajuan kalau dibandingkan dengan Negeri-Negeri Selat yang lain. Dari apa yang saya dengar dari Arwah Nenek dan Orang-Orang lama, pada awal abad ke 20 negeri-negeri lain sudah jauh meninggalkan Kelantan di dalam bab kemajuan.
Dalam pada negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung dan masyarakatnya menikmati kemajuan ketika itu, Rakyat Negeri Kelantan masih lagi hidup dengan kemajuan yang sedikit di dalam kehidupan tanpa hala tuju yang jelas. Pada masa itu masyarakat Kelantan hidup tanpa Penguatkuasaan Undang-Undang. Ibarat di rimba, si kuat akan menjadi "Raja" dan si lemah akan menjadi "Hamba". Cuba bayangkan sekiranya sekumpulan Perompak yang akan melakukan rompakan, mereka siap hantar "Notis" terlebih dahulu kepada yang akan menjadi Mangsa. Bila berdendam, pantang jumpa maka jadilah pertarungan. menang kalah lain cerita, pendek kata bunuh mati, buli, rompak, curi, larikan bini orang adalah menjadi perkara biasa kepada sikuat.
Jadi oleh kerana keadaan inilah terbentuknya Clan-Clan di dalam masyarakat se tempat untuk menjaga keselamatan dan kepentingan sesuatu keluarga atau puak. Pasukan Polis hanyalah ditubuhkan selepas Inggeris mengambil alih pentadbiran daripada Thai pada awal abad ke 20. Itu pun terdiri dari beberapa orang sahaja. Jenayah berleluasa dan Undang-Undang memang di tangan penduduk sendiri selepas kuasa Raja. Keadaan-keadaan inilah membentuk jiwa, semangat, kegigihan dan setiakawan bagi Orang-Orang Kelantan.
Saya suka menggambarkan senario kehidupan pada masa itu yang melibatkan Arwah Ayah saya sendiri. Maaf, cerita ini bukan untuk memaparkan kejaguhan atau keberanian. Cerita ini hanyalah sekadar memaparkan keadaan dan suasana kehidupan Masyarakat Kelantan di zaman itu.
Arwah Ayah pada masa mudanya adalah seorang pedagang dan pengusaha "Pinang Muda Kering" ("Pinang Kosi" ia itu pinang muda yang disalai- Bahasa Kelantan) dijual ke Singapura dan katanya dieksport pula ke India untuk dijadikan pewarna kain. Walllahu aklam. Saya hanya dengar cerita dari nenek dan orang-orang lama. Di Daerah itu terdapat seorang Ketua Samseng yang memang ditakuti seolah raja. Sebenarnya siSamseng ini juga adalah mempunyai talian saudara juga dengan Nenek.
Pada satu malam stor simpanan pinang ayah telah dipecah dan hasilnya dicuri. Setelah kehilangan barang dagangan, ayah cuba siasat dan ayah mendapat tahu yang Kuncu-Kuncu siSamseng ini yang mencurinya di atas arahan ketua. Ayah berpesan kepada sesiapa yang berjumpa/bertemu dengan siSamseng ini supaya menghantar balik barang yang di curi darinya. Apabila pesanan ayah sampai ke telingan siSamseng tadi, dia mencabar ayah. "Sekiranya Mat Jusoh jantan, sila datang ambil sendiri" Ayah sudah rasa tercabar dan tunggu masa untuk bertindak. Akhirnya ayah berjaya mengambil kembali barangannya dari tempat simpanan barangan curi siSamseng. Apa lagi berang dan mengamuklah siSamseng diperlecehkan oleh ayah.
Lantas siSamseng perpesan dan berkirim salam kepada ayah dengan berkata "Kalau aku jumpa Mat Jusoh, akan ku belah perut dan jadikan ususnya pengikat pagar di rumahku" Apabila persanan itu disampaikan pula kepada ayah, ayah menjawab "Tak apalah kalau dia dapat, tapi kalau aku yang dapat, macam mana?" Maka gendang perang pun bermula di antara ayah dan siKetua Samseng.
Ditakdirkan Tuhan, pada suatu malam bulan yang terang ketika balik dari menonton Wayang Kulit (Hiburan ketika itu ialah Wayang Kulit dan Dikir Barat) ayah dan siKetua Samseng bertembung di pinggir sawah di dalam perjalanan. Maka bertarunglah ayah dan siKetua Samseng setelah ayah mencabarnya. Ayah bersenjatakan Tongkat 69 (Sejenis Belantan yang bersegi empat biasanya dari Nibung Tua) dan siKetua Samseng bersenjatakan Kelewang (Sejenis Parang tirus dan sedikit bongkok dengan cangkuk di atas belakangnya)
Setelah beberapa ketika bertarung, ayah berjaya memukul bahagian tepi kepala di atas telinga siKetua Samseng. Kerana kuatnya pukulan itu, siKetua Samseng jatuh langsung pengsan dengan mengeluarkan bunyi bagai Kerbau disembelih. Di kala itulah ayah mengambil keputusan untuk membunuhnya saja. Bila musuhnya jatuh terlentang, ayah ambil posisi "membelah kayu". Nasib masih menyebelahi siKetua Samseng, pada masa ayah mengangkat Tongkat 69nya dengan segala kekuatan untuk menghentak, seorang kawan ayah kebetulan lalu di situ dan memegang tangan ayah sambil berkata "Jangan Soh, mati!"
Ayah tinggalkan siKetua Samseng dalam keadaan tidak sedar diri di situ dan pulang. Atas nasihat keluarga, ayah meninggalkan kampung itu pada malam itu juga kerana kemungkinan besar esoknya pihak polis akan mencarinya. Diceritakan pada masa itu pihak Polis akan mencari Penjenayah hanya sekitar dua minggu sahaja. Kalau mereka tidak berjaya menangkapnya perkara itu akan didiamkan setakat itu sahaja.
Ayah berundur dari kampung dan menumpang di rumah Arwah Datuk (sebelah ibu saya) di satu daerah yang lain. Kebetulan pada masa itu Datuk adalah Penghulu dan memberikan perlindungan kepada ayah (masa itu ayah belum lagi kawin dengan emak). Khabarnya siKetua Samseng koma beberapa hari dengan kesan rambut tempat sasaran pukulan ayah putus, kulit robek dan mengambil masa 5 bulan untuk sembuh dengan terbaring di tikar. Di masa itu Hospital tak payahlah sebut. Jauh bagi mereka dan kalau ada pun orang ramai takut untuk ke sana mendapat rawatan moden. Jadi Bomohlah menggantikan Doktor.
Itulah sedikit paparan kehidupan pada zaman itu. Jadi tidak hairanlah sikap dan perangai Orang Kelantan masih begitu hanya sedikit berubah mengikut masa. Generasi yang lahir dari zaman survival!
Saya terfikir, adakah kita dengan keadaan diri kita sekarang boleh hidup di zaman itu? Yang saya mampu hanyalah geleng kepala.
Cerita ini adalah cerita lisan dari Arwah Nenek sebelah ayah dengan tambahan maklumat dari orang-orang tua yang mengenali ayah.
APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH
Borang Keahlian MUARA
Sunday, July 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment