APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

APABILA DISAPA PETUNJUK DAN HIDAYAH

Borang Keahlian MUARA

Nama:
Email:
Telefon:
KP:
Alamat:

This HTML form was created by Freedback.

Bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal-Ehwal Pengguna

Photobucket

Bersama Timbalan Menteri Pelajaran

Photobucket

Sunday, October 16, 2011

Selamatkan akidah umat Islam!

Oleh MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Tanggal 22 Oktober 2011, kita sebagai umat Islam akan melakarkan sejarah, percubaan untuk mengimpunkan seramai sejuta orang di Stadium Shah Alam. Sama ada berjaya atau tidak, kita serahkan kepada Allah SWT.

Perhimpunan ini yang dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan lain-lain badan.

Perhimpunan yang bertemakan "Selamatkan Akidah", secara tidak langsung mahu memberi amaran kepada bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan orang Islam dan jangan sekali berani memurtadkan mereka.

Perlu diingatkan bahawa orang Melayu adalah umat Islam yang paling beruntung di dunia ini berbanding dengan umat Islam di negara-negara lain. Melayu dan Islam dilindungi oleh Perlembagaan. Islam itu, Melayu itu Islam. Lebih istimewa lagi yang memeluk agama Islam, pun boleh dikira sebagai Melayu mengikut Perlembagaan, walaupun bukan Melayu dari segi keturunan.

Bermakna, saudara Muslim juga tidak boleh murtad setelah memeluk Islam. Apatah lagi orang Melayu. Inilah peruntukan yang tidak ada dalam dunia. Begitulah beruntungnya umat Islam di negara bertuah ini.

Namun, sayangnya murtad tetap juga berlaku. Bukan Islam begitu berani memurtadkan umat Islam walaupun ia tidak dibenarkan sama sekali. Insiden yang dalam majlis Gereja Katholik Damansara Utama (DUMC) begitu mencabar sama sekali wibawa agama dan umat Islam. Kita mesti bangun sebelum nasi menjadi bubur.

Menurut statistik, setakat ini hanya 168 permohonan murtad diluluskan. Menurut sumber lain jumlah permohonan murtad sebanyak 686 manakala kelulusan diberikan kepada 135 orang. Sabah mendahului dengan 67 orang manakala Negeri Sembilan 33 orang.

Menurut Pawanchek Merican, jurucakap Persatuan Peguam Muslim, Mahkamah Syariah Negeri Sembilan telah meluluskan 16 kes meninggalkan Islam. Saya amat yakin jumlah ini jauh lebih besar daripada yang sebenar kerana menurut Mufti Perak, lebih 260,000 telah dimurtadkan.

Gerakan memurtadkan umat Islam telah lama berlaku. Apa yang penting bukannya angka, tetapi percubaan dan keberanian mencabar kedaulatan agama Islam. Kita tahu, tetapi buat-buat tidak tahu.

Pihak yang mengambil kesempatan amat licik. Contohnya, pembinaan pusat Kristian antarabangsa, yang dikenali sebagai Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil oleh Calvary Church, atas nama badan kebajikan untuk mendapat pengecualian cukai. Memang menjadi perancangan Kristian untuk menjadi Malaysia sebagai sasaran Kristianisasi setelah berjaya di negara Melayu yang lain seperti Indonesia.

Bagi mendapat kebenaran merancang, mereka telah mengemukakan pelan kepada Dewan Bandaraya sebagai pusat komersial. Apabila mendapat kebenaran merancang, yang dibina bukanlah pusat komersial. Ia hanya sebagai alat, tetapi yang akan muncul nanti sebagai mercu tanda adalah gereja terbesar di Asia.

Itu pun mereka masih terus mendesak dan memohon kerajaan membenarkan mereka mendirikan gereja di Putrajaya dan Shah Alam, di kawasan yang mereka amat minoriti. Apakah kita masih buta?

Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10 peratus boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukupkah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves? Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Akhirnya, nanti negara ini akan keluar Malaysia boleh dalam segala hal. Di manakah kedudukan tujuh wasiat raja-raja Melayu itu?

Sebagai umat Islam kita sepatutnya menjunjung kasih titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, yang disampaikan mewakili Raja-Raja Melayu sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama bulan lalu.

Antara intipati utama yang terkandung dalam titah diraja baginda ialah supaya umat Islam di negara ini menghayati semangat bersatu padu khususnya dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Menurut baginda lagi, kelemahan umat Islam yang semakin terserlah menyebabkan pihak-pihak lain bertambah angkuh, dan toleransi umat Islam terus dicabar. Akibatnya, pencerobohan-pencerobohan bentuk baru telah berlaku seperti pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama menjadi 'hak eksklusif' kepada umat Islam.

Menurut Raja Nazrin lagi, pada ketika umat Islam hari ini dilihat berada dalam kemelut taksub untuk meraih kuasa dan pengaruh politik sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip asas agama dan maruah bangsa. Ketaksuban politik di kalangan umat menyebabkan mereka bergembira melihat pihak yang kalah menjadi abu walaupun pihak yang menang hanya akan menjadi puntung-puntung arang.

Ingatlah wahai saudaraku, ramai yang beranggapan bahawa survival umat Islam (Melayu) terletak di tangan parti politik. Tanpa kita sedari sepatutnya survival parti politik itulah yang bergantung kepada umat Islam (Melayu) itu sendiri.

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada kemenangan parti semata-mata, sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri terlebih dahulu. Kekuatan diri yang akan menguatkan kekuatan parti.

Hakikatnya parti hanyalah satu alat sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu matlamat. Matlamat hanya ada satu, sedangkan jalan-jalan menuju ke matlamat begitu banyak. Bangsa yang bijak, tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu matlamat.

Di sinilah terletaknya kematangan berpolitik. Lihatlah politik bukan Islam, mereka meluaskan jalan dan jaringan, bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana Amat jelas sekali ada gerakan yang seolah-olah mahu melunturkan akidah umat Islam dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Inilah cabaran yang memerlukan pengorbanan di kalangan kita.

Ayuhlah, tidak kira apa jua latar belakang, ideologi, parti politik dan sebagainya, kita sebagai umat Islam perlu zahirkan tindakan dengan tampil ke hadapan untuk menunjukkan solidariti kita pada 22 Oktober ini. Barulah ketika itu orang lain tidak berani memijak kepala kita lagi.

Saturday, October 8, 2011

Ikon Teknologi Moden



SETELAH bergelut dengan penyakit kanser pankreas, akhirnya pengasas bersama Apple, Steve Jobs meninggal dunia pada Rabu lepas ketika berusia 56 tahun.

KEMATIAN adalah satu ciptaan paling terbaik di dunia. Ia juga merupakan ejen perubahan dalam hidup,”. Itu adalah kata-kata yang diluahkan oleh Steve Jobs, ikon teknologi moden yang telah banyak menyumbang dan membawa perubahan dalam bagaimana kehidupan sepatutnya berfungsi pada dunia moden.

Ucapan ini diluahkan beliau ketika berucap pada hari konvokesyen Universiti Stanford 2005, seolah-olah beliau mahu membawa perubahan sebelum mati satu hari nanti akibat penyakit yang dihidapinya dan pada masa yang sama reda dengan ketetapan itu.

Pada Rabu lepas manusia yang begitu berjasa dalam hidup manusia telah pergi selamanya. Pada usia 56 tahun, Jobs yang bergelut dengan penyakit kanser pankreas sejak 2004 dan beberapa penyakit lain, pergi meninggalkan nama dan jasa.

Usaha dan jasanya terlalu besar kepada manusia di seluruh dunia kerana hampir di segenap ceruk pasti akan ada orang yang pernah menggunakan ciptaan syarikat yang diasaskan bersama, Apple dalam kehidupan seharian.

Malas

Ramai di antara kita kenal produk-produk Apple seperti iPhone, iPad, iPod, Mac, iHome, dan sebagainya namun tidak mengetahui bahawa ketika kecilnya beliau adalah seorang yang nakal.

Pada usia muda, Jobs tidak menggambarkan kecemerlangan seperti mana dilalui bersama syarikat yang dibinanya.

Zaman persekolahannya, anak kelahiran San Francisco, California ini dikatakan seorang murid yang malas dan gurunya terpaksa mengupah beliau dengan gula-gula dan wang sebanyak AS$5 (RM16) supaya beliau belajar.

Malah Jobs digambarkan terlalu nakal dengan kerenah pelik antaranya melepaskan seekor ular di dalam kelas selain pernah membuat letupan kecil di dalam kelas ketika menghadiri kelas sains.

Kaligrafi

Setelah tamat persekolahan pada 1972, Jobs mendaftar masuk Reed College di Portland namun gagal melanjutkan pelajaran hanya selepas satu semester. Namun beliau masih meneruskan kuliah tanpa sebarang gred (auditing) untuk beberapa ketika dan Jobs pernah menyatakan jika tidak kerana mengambil kelas kaligrafi ketika auditing beliau tidak akan mampu mencipta komputer Macintosh seperti mana yang kita lihat sekarang.

Ketika melanjutkan pelajaran itu beliau meneruskan hidup dengan menumpang tidur di atas lantai dalam bilik salah seorang rakannya, mengutip botol Coke untuk dijual bagi mendapatkan wang perbelanjaan selain mendapatkan makanan percuma pada setiap hujung minggu di sebuah kuil Hare Krishna yang terletak berdekatan.

Pada tahun 1974, beliau kembali ke California dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat permainan video, Atari.

Ketika berada di sana beliau juga menghadiri perjumpaan Homebrew Computer Club dan di situ bermulalah perkenalan Jobs bersama rakan baik dan juga pengasas bersama Apple, Steve Wozniak.

Namun matlamat utama beliau bekerja di situ adalah mengumpul wang untuk menampung perbelanjaan bagi menghadiri perjumpaan kerohanian di India.

Setelah cukup tabungannya, beliau bersama rakan sekolejnya, Daniel Kottke (yang kemudian menjadi pekerja pertama di syarikat Apple) menuju ke India untuk berjumpa pendita agama Hindu terkenal, Neem Karoli Baba di Kainchi Ashram atas tujuan mencari makna hidup.

Bagaimanapun Jobs kembali ke California sebagai penganut agama Buddha serta membotakkan kepalanya selain sering memakai pakaian tradisi India.

Penubuhan

Setelah kembali dari India, Jobs bekerja semula dengan Atari, namun pada bulan Mei 1976 beliau bersama Wozniak, Ronald Wayne beserta bekas pengurus pemasaran Intel, A.C. "Mike" Markkula Jr. yang menyumbang sejumlah dana, telah menubuhkan syarikat Apple secara rasmi.

Syarikat tersebut telah mencipta dan membangunkan produk komputer peribadi pasang siap, Apple I pada tahun yang sama dijual pada harga pengenalan AS$666.66 (RM2133).

Ini diikuti pengenalan produk Apple II pada tahun berikutnya sekaligus menjadikan Apple sebagai pemain utama industri komputer peribadi ketika itu. Produk Apple II juga menjadi simbol revolusi kepada industri komputer peribadi dunia berasaskan kesempurnaan spesifikasi teknikalnya termasuk perkakasan, warna grafik dan perisian yang digunakan. Produk ini juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Sekitar tahun 1981, Jobs memperkenalkan pula komputer peribadi Apple Macintosh yang mana spesifikasi grafik pada produk itu telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dipecat

Bagaimanapun Jobs telah dipecat dari Apple pada 1985 akibat perebutan kuasa dan konflik dalaman syarikat, namun beliau kemudiannya menubuhkan syarikat NeXT Computer pada 1986.

Syarikat tersebut ditubuhkan dengan wang yang diperolehi sepanjang bersama Apple berjumlah AS$7 juta (RM22.4 juta). Namun beliau berjaya memujuk bilionair AS, Bill Perot untuk menyumbang dana dalam syarikat tersebut.

Sepanjang tempoh bersama NeXT Computer, Jobs berjaya menghasilkan komputer peribadi termaju menggunakan cip pemproses isyarat digital antaranya NeXTcube, NeXTSTEP/Intel dan beberapa lagi.

Beliau juga telah membeli syarikat The Graphics Group, yang kemudian diubah namanya kepada Pixar. Syarikat ini semakin berkembang maju apabila mengikat projek bersama syarikat animasi terkenal, Disney.

Antara projek filem animasi yang berjaya memberi keuntungan lumayan selain meningkatkan penjenamaan syarikat adalah Toy Story (1995), A Bug's Life (1998), Toy Story 2 (1999), Monsters, Inc. (2001), Finding Nemo (2003), The Incredibles (2004) dan banyak lagi.

Revolusi

Pada tahun 2006, Disney telah mengumumkan pembelian syarikat Pixar pada harga AS$7.4 billion (RM23.6 bilion) dan Jobs merupakan pemegang saham individu terbesar dalam Disney dengan kepentingan sebanyak tujuh peratus.

Pada tahun 1995 Jobs kembali menerajui Apple setelah syarikat tersebut membeli syarikat NeXT Computer pada harga AS$429 juta (RM1.37 bilion) pada 1997.

Di bawah pentadbiran Jobs, Apple terus mengecapi kejayaan dan mengalami revolusi di peringkat tertinggi menerusi pengenalan beberapa produk pengkomputeran moden seperti Power Mac G3, PowerBok dan juga iBook.

Pada tahun 2001, Apple telah memperkenalkan perisian sistem operasi pertama mereka, Mac OC X selain beberapa aplikasi pengkomputeran menerusi platform iApps seperti iMovie, iTunes, iPhoto, iCal dan iSync.

Tahun yang sama juga menyaksikan Jobs merancang strategi untuk terlibat dalam industri hab digital merangkumi penghasilan produk seperti kamera digital, kamera video, pemain MP3, telefon bimbit dan peranti digital.

Momentum kejayaan Apple terus dirancakkan menerusi pengenalan produk pemain MP3 dikenali sebagai iPod pada tahun 2001.

Keturunan

Tidak cukup dengan itu, kejayaan dalam bidang telekomunikasi turut dicatatkan Apple pada tahun 2007 apabila memperkenalkan peranti telefon bimbit pintar iPhone dan komputer tablet iPad yang kini menarik perhatian masyarakat dunia.

Ramai yang beranggapan bahawa Jobs berasal dari keturunan kulit putih walhal beliau mempunyai pertalian darah dengan keturunan Islam.

Bapa kandung Jobs bernama Abdulfattah John Jandali dan beliau berketurunan Syria. Abdulfattah merupakan seorang profesor sains politik dan matematik.

Sama seperti Jobs, Abdulfattah merupakan seorang yang kuat bekerja. Beliau dikatakan menyandang jawatan Naib Presiden di sebuah kasino yang terletak di Reno, Nevada.

Bagaimanapun, Abdulfattah dikatakan menyesal atas tindakannya menyerahkan Steve Jobs kepada orang lain untuk membesarkannya.

Menurut beliau keputusan itu adalah bukan keputusannya, tetapi keputusan ibu kandung Steve Jobs, Joanne Schieble Simpson yang berketurunan Jerman, kerana mendapat tentangan ahli keluarganya yang tidak boleh menerima menantu mereka adalah orang Arab beragama Islam.

Oleh itu mereka menghantarJobs kepada pasangan Paul dan Clara Jobs yang menjadi keluarga angkatnya bagi membesarkan Steve Jobs sepenuh masa. Dikatakan bapanya tidak pernah berjumpa atau menghubungi Jobs dan begitu juga sebaliknya sehinggalah ke akhir hayatnya.

Tuesday, October 4, 2011

Pesanan Buat Siswazah - Lakarkan Kehidupan Yang Lebih Berkualiti

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK
Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

BULAN ini musim universiti mengijazahkan pelajar yang bakal melangkah ke alam baru - baik alam pekerjaan ataupun selainnya. Apa pun, alam baru itu akan diharungi berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari bidang kepakaran masing-masing.

Bagi Universiti Sains Malaysia (USM), metafora "Universiti Dalam Taman" yang dipupuk selama ini sekali gus menafikan bahawa siswazah USM adalah bahan produk perkilangan yang hanya mengejar pekerja dan harta benda sebagai sebahagian modal insan berjenama USM.

Sebaliknya USM meyakini bahawa siswazah mempunyai banyak kemampuan dan bakat lain. Malah sebagai individu berilmu, mereka berupaya melakarkan kehidupan yang lebih berkualiti bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manusia teramai yang melata hidupnya, berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat.

Dengan kata lain, siswazah boleh merentasi konsep model insan semata-mata, dan boleh kesudahannya menggarap makam yang lebih tinggi sebagai insanul-kamil.

Ini bermakna pendidikan kita tidak sepatutnya dilihat sebagai perhiasan luaran dengan jubah dan gelaran ijazah yang pelbagai rupa, sedangkan hatinya buta diselaputi hasad dan dengki. Jika inilah yang berlaku, maka hati kita belum lagi terdidik dan ijazah tidak bermakna sama sekali.

Oleh sebab itulah universiti seperti USM gigih berusaha meletakkan ilmu pengetahuan dan pengajian tinggi secara jelas untuk menolong golongan yang terkebawah dan yang tercicir sebagai mengisi kekosongan yang ada, tidak kira melalui hasil penyelidikan dan pengajaran, apa lagi kerja-kerja kemasyarakatan yang boleh mencelikkan hati kepada derita masyarakat sekitar kita.

Yang jelas era dunia berlandaskan ekonomi sudah mula meleset kerana keadaan semasa tidak lagi menggambarkan yang ekonomi mampu membawa manfaat kepada manusia sejagat; tetapi sebaliknya manusialah yang membawa manfaat kepada ekonomi bagaikan hamba abdi.

Hatta ilmu dijadikan modal begitu juga insan untuk dijual beli bagi menggerakkan ekonomi. Pendek kata kita adalah hamba kepada ekonomi dan bukan lagi sebaliknya seperti diramalkan. Sama juga dengan kita menjadi hamba kepada teknologi dan bukan lagi sebaliknya.

Akibatnya kini berbagai soal dan isu moral dan sosial timbul yang seolah-olah tidak ada penyelesaiannya selagi soal "perhambaan" - selain daripada kepada Ilahi - tidak dapat dirungkai dengan sempurna.

Kehidupan menjadi tidak sejahtera, dan kalaupun sejahtera hanya pada dimensi luarannya sahaja. Jiwanya tidak tenteram dan menderita kerana fitrahnya terus terbelenggu.

Saya tidak tahu sama ada transformasi yang sedang ditaja mengambil kira soal-soal seumpama ini, dan melewati agenda perkiraan untung-rugi semata-mata. Jika begitu halnya, apa pula perkiraan untung-rugi yang dikenakan untuk mententeramkan hati dan jiwa seseorang yang daif itu.

Walhal bak kata-kata hikmat berikut: Life is not measured by the number of breaths we take; but by the moments that take our breath away. (Kehidupan tidak diukur dari bilangan nafas yang dihela, tetapi oleh detik ketika yang menghela nafas kita) Malangnya kita masih berkira-kira sedang yang dikira itu tidak mutlak sifatnya.

Oleh yang demikian dalam menerokai alam baru, masing-masing para siswazah penting melihat jauh ke hadapan kewajaran dan keikhlasan mereka sesama manusia dan alam seluruhnya. Kita harus membuktikan kesanggupan mengungkap keprihatinan tentang isu-isu global yang dini hari terumbang-ambing kerana belenggu fitrah tadi.

Pembuktian akan hanya berlaku apabila para siswazah sebagai golongan cendekiawan mula menghayati peranannya yang lebih besar dan luas dari tumpuan alam pekerjaan mereka. Bak kata pepatah: "Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya" - yang dengan jelas berkehendakan kita memecahkan batasan paradigma yang ada, serta mencabar status quo.

Maka buktikanlah siswazah lebih terkehadapan dari segi pemikiran, amalan dan tingkah laku, apatah lagi dalam soal kepemimpinan.

Namun ingat juga pepatah: "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" ; dan "Ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk".

Tunjukkan betapa para siswazah amat mementingkan nilai sejagat lagi universal dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan.

Bertindaklah di atas landasan ilmu pengetahuan dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara dalam acuan yang kita ingini tanpa menggadaikan bahasa, budaya dan agama.

Ia menekankan bahawa para siswazah adalah contoh ikutan untuk kesejahteraan bersama, walaupun ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu "keangkuhan" yang disalahtafsirkan oleh desakan hati yang resah dan gelisah. Umpama pohon yang lebat buahnya; lebih sering pula ia dilempar batu! Begitu juga dengan setiap kejayaan yang sarat dengan ilmu pengetahuan.

Ini bermakna menempa kejayaan demi kejayaan bukannya mudah selagi soal hati tadi tidak disesuaikan dengan fitrahnya. Ramai yang mudah beralah asalkan sahaja kejayaan luaran kekal malah diagung-agungkan.

Dengan kata lain, pendidikan tidak akan berakhir sebagai seorang siswazah saja! Sebaliknya ia satu permulaan kerana alam baru yang bakal diterokai akan menuntut banyak lagi kebijaksanaan yang berpunca dari hati sanubari yang peka dan suci.

Namun kita percaya bahawa setiap seorang mempunyai peluang untuk terus berjaya sekiranya ilmu pengetahuan dijadikan obor untuk menerangi liku-liku hidup.

Jadilah seorang ilmuwan yang disegani melalui keluhuran jiwa dan hati yang benar-benar memahami: "Orang berbudi kita berbahasa. Kita memberi, orang merasa!"

Monday, August 22, 2011

Islam semakin berkembang pesat di Brazil

RIO DE JANEIRO 22 Ogos - Ajaran Islam di Brazil semakin berkembang apabila dilaporkan terdapat lebih 500 keluarga Islam di bandar raya ini yang sering dikenali dengan karnival serta gadis-gadis yang gemar berbikini.

Selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini, hanya keluarga berketurunan Arab dari Libya, Palestin dan Syria mengamalkan ajaran Islam di Brazil.

Bagaimanapun, keadaan banyak berubah kini apabila semakin ramai penduduk tempatan berketurunan bukan Arab mula memeluk Islam, termasuk seorang saudara baru yang mahu dikenali dengan nama Islamnya, Omar Israfil Dawud bin Ibrahim.

"Saya temui semua yang saya mahu dalam Islam. Islam adalah agama yang mempercayai satu Tuhan, tiada prasangka dalam agama ini," katanya yang pernah dilantik sebagai paderi Katolik empat tahun lalu.

Isterinya, Fatima yang mengambil keputusan memakai tudung selepas memeluk Islam berkata, ibunya pernah merasa terhina dengan tindakannya itu.

Pemakaian tudung Fatima yang jelas menunjukkan imej Islam itu juga menimbulkan rasa kurang senang di Rio, kota di mana wanita sering berbikini di jalan-jalan raya.

Jurucakap Persatuan Kebajikan Islam (SBMRJ), Sami Isbelle berkata, bilangan penduduk Brazil bukan Arab yang memeluk Islam semakin bertambah dengan kebanyakannya ditemui di Internet, malah kira-kira 85 peratus daripada 500 keluarga Islam di sini bukan berketurunan Arab.

Bancian di Brazil tidak memasukkan kira-kira sejuta penganut Islam dalam kategori agama utama, sebaliknya diletakkan di bawah kategori lain-lain agama bersama agama Buddha.

Satu daripada petunjuk terbaik menggambarkan perkembangan Islam di negara ini adalah pembinaan masjid yang kini mencapai 127 buah di Brazil, empat kali ganda lebih banyak berbanding tahun 2000. - AFP

Monday, July 18, 2011

Burung walit tawar pulangan lumayan?


KUALA TERENGGANU 18 Julai - Perusahaan burung walit dijangka menyumbang kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion daripada RM523 bilion anggaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang tahun 2020 ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Sumber Teknologi Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Kamaruddin Md. Isa berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sambutan yang kian meluas.

Katanya, ia menjadi tarikan kerana harga bagi satu kilogram sarang burung itu mampu mencecah RM5,000 jika dinilai berdasarkan gred, saiz dan ketulenannya.

"Jika dieksport ke negara China pula, harganya dipercayai boleh meningkat sehingga empat kali ganda kerana permintaan di sana sangat tinggi," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita semasa Persidangan dan Latihan Pengurusan Ladang Walit Antarabangsa (Icotos) di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Zolkipli Abdul; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Alias Daud serta Pengerusi Jawatankuasa yang juga Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UniSZA, Prof. Dr. Mat Zakaria.

Seminar selama tiga hari yang bermula semalam itu disertai oleh hampir 200 peserta yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha burung walit dari dalam dan luar negara.

Selain Malaysia, negara lain yang turut serta dalam program anjuran UniSZA itu ialah Indonesia dan India.

Dalam pada itu, Dr. Kamaruddin berkata, sehingga kini, belum ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa perusahaan burung walit boleh menjejaskan tahap kesihatan manusia.

"Berdasarkan kajian yang kita buat, burung walit tidak mendatangkan apa-apa masalah kesihatan kepada pengusahanya, sebaliknya memberi manfaat kepada mereka," ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, perusahaan burung walit tidak sukar untuk diusahakan kerana ia banyak bergantung kepada lokasi penempatan burung berkenaan.

"Jika lokasi yang dipilih sesuai termasuk berdekatan dengan sumber makanan mereka, maka perusahaan ini tidak akan memakan masa yang panjang," jelasnya lagi.

Sunday, July 10, 2011

SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA.....

SOAL SIASAT SEORANG PELAJAR IPTA PEREMPUAN YANG DI TAHAN KELMARIN ...

polis : pelajar tahun berapa, bidang apa, dimana ? pelajar : tahun 2, usuluddin, UIA ( intonasi marah )

polis : kenapa tujuan datang KL sertai demonstrasi ? pelajar : nak protes kerajaan zalim ( intonasi marah )

polis : mana dapat baju bersih ni ? pelajar : beli RM49 di pejabat cabang pkr ( intonasi marah )

polis : datang KL berapa orang, ada kenderaan ? pelajar : 8 orang, naik bas, komuter ( intonasi marah )

polis : kenapa kata kerajaan zalim ? pelajar : Dato Seri Anwar Ibrahim kata kerajaan zalim ( intonasi marah )

polis : asal dari mana ? pelajar : ( diam tak jawab )

polis : saya tahu dimana kampung awak, siapa ibu bapa kamu ! pelajar : ( terus menangis ) puan, tolong la jangan beritahu keluarga saya

polis : beri sebab kenapa awak tidak mahu saya hubungi keluarga ? pelajar : ( menangis )

polis : jika awak tak jawab saya hubungi ibu bapa awak sekarang juga ! pelajar : tolong saya, puan ... saya malu dengan mereka ( menangis )

polis : adakah ibu bapa awak ahli parti politik, di kampung ? pelajar : tidak puan, mereka hanya penoreh getah, tak tahu politik ( nangis )

polis : bagus lah macam tu, mereka wajar tahu awak bakal ahli politik ! pelajar : saya malu, puan ... tolong jangan hubungi mereka

polis : apa awak nak malu, mereka patut bangga, awak dah pandai ! pelajar : keluarga saya orang susah puan, nak makan pun susah ( nangis )

polis : awak beli macam2 benda, belanja untuk demonstrasi, duit siapa ? pelajar : duit PTPTN puan, duit bantuan sara hidup dari FELDA puan

polis : siapa yang bantu awak dapat belajar di UIA, dapat bantuan ? pelajar : ayah bawa saya jumpa ADUN BN minta sokongan puan

polis : siapa lagi tolong awak semasa belajar, sara hidup KL ni tinggi pelajar : ayah jumpa pengurus wilayah tu, dapat bantuan FELDA

polis : bukan kah PTPTN, FELDA itu, agensi kerajaan ? pelajar : ya puan ( nangis )

polis : kenapa kata kerajaan zalim, awak susah jumpa kerajaan ? pelajar : ( nangis )

polis : saya terpaksa jalankan tugas saya, nama awak akan dihantar kepada pihak UIA dan Kem. Pengajian Tinggi ! pelajar : ( nangis ) saya minta maaf puan, tolong la saya kali ini

polis : dalam rekod ni, ini kali ketiga awak di tahan kerana kesalahan berkumpul tanpa kebenaran, maaf saya tak dapat tolong !­

Sunday, July 3, 2011